Majoriti Umat Manusia Alpa Persoalan Akhirat
Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertakwa kepada Allah. Seterusnya marilah kita melihat betapa Allah Taala telah menunjukkan di hadapan manusia di seluruh dunia tanda-tanda kemusnahan alam akibat daripada perbuatan manusia.
Berlakunya beberapa bencana yang menenggelamkan bumi, menghancurkan bukit dan gunung-ganang serta bencana yang mengorbankan jiwa manusia yang ramai, menghilangkan harta benda, ia tidak mampu ditolak oleh kemajuan sains dan teknologi sehingga akhirnya ahli-ahli sains dan termasuk mereka yang tidak percaya kepada berlakunya hari kiamat, percaya bahawa dunia ini akan musnah.
Mereka percaya suatu masa bahawa bumi ini akan kiamat, namun mereka tidak membincangkan apakah persediaan untuk kiamat tersebut. Inilah persoalan yang tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia.
Allah Taala telah mengingatkan kita dalam al-Quran, antara firman-Nya (yang bermaksud): “(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah ingin kalau ada jarak yang jauh antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu ingat beringat terhadap kekuasaan dirinya dan Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. (Surah Ali Imran: ayat 30)
Ayat ini adalah peringatan daripada Allah SWT kepada seluruh manusia bahawa Allah akan memperlihatkan semua amalan mereka, akan dihisab sama ada amalan yang baik mahupun jahat. Bukan sahaja diketahui oleh Allah bahkan ia dicatat oleh para malaikat dan disaksikan oleh anggota badan manusia sendiri.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: ayat 65)
Pada hari itu, setelah dibuka segala amalan mereka, mereka hanya mahu amalan-amalan yang baik sahaja. Kalau boleh amalan jahat yang dilakukan oleh mereka dijauhkan dengan sejauh-jauhnya. Padahal amalan jahatlah yng sangat diingati oleh mereka dalam kehidupan di dunia ini.
Itulah peringatan Allah Taala tetapi kebanyakan manusia melupai perkara ini, bahkan mereka dilalaikan oleh kehidupan yang menggoda. Allah Taala memperingtakan dalam al-Quran yang menyatakan bahawa amalan mereka akan diperhitungkan dengan penuh teliti.
Antara lainnya, firman Allah Taala yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya amalnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.” (Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)
Tetapi apa yang malangnya ialah semua hal yang seumpama ini tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Maka seolah-olah manusia tenggelam dalam kehidupan dunia selama-lamanya. Pada mereka, tidak ada kematian yang akan berlaku, lantas mereka lari daripada petunjuk Allah Taala.
Mereka lari daripada agama Allah Taala dan membuat ajaran-ajaran sendiri, kemudian beramal mengikut kemahuan diri sendiri. Tindakan itu menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan yang menyusahkan di dunia serta di akhirat akan mengalami keadaan yang lebih susah dan lebih menyulitkan.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya, oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran: ayat 31-32) " |
I don't even know how I ended up here, but I thought this post was good. I do not know who you are but definitely you are going to a famous blogger if you aren't already ;) Cheers!
Visit my web-site similar web-site