UMNO Perlu Hentikan Peralat Pelajar
KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menggesa kerajaan menghentikan perbuatan memperalatkan pelajar untuk kepentingan politik Umno/BN negeri.Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak-pihak tertentu memperalatkan pelajar-pelajar universiti untuk tujuan itu.
Menurutnya, sehingga kini PAS dapat mengesan dua program yang telah dilaksanakan. Program pertama, katanya membabitkan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung pada 16 hingga 19 Mei lalu di Parlimen Kuala Terengganu yang melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bandar termasuk DUN Seberang Takir (Parlimen Kuala Nerus) yang bertempat di Masjid Hiliran.
Katanya lagi, program kedua pula di DUN Rhu Rendang yang diadakan di Kampung Gong Beris, Marang dari 14 hingga 18 Jun lalu yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Majlis Perasmian dan Penyerahan Anak Angkat Projek Baktisiswa Terengganu 2007 itu dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains &Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.
“Caranya ialah mereka menjadi anak angkat kepada penduduk setempat. Ini ada matlamat politik dan pengendalinya ialah JKKK, jabatan belia dan jabatan berkenaan, menanamkan politik kepartian Umno/BN kepada para peserta.
“Kemudian, pelajar itu sendiri ditugaskan antara lain ziarah rumah dalam kampung itu dan buat culaan untuk menentukan PAS atau Umno,” ujarnya pada persidangan media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, culaan itu sepatutnya dilakukan oleh orang politik, bukannya peserta program baktisiswa itu.
Beliau yang kesal dengan tindakan itu berkata, dalam suasana kerajaan kata pelajar tidak boleh terlibat dengan politik kepartian tetapi pemimpin kerajaan sendiri telah melanggar etika dan memperalatkan pelajar-pelajar untuk kepentingan politik Umno dan BN.
“Saya salah seorang pimpinan politik tertinggi PAS dan menyedari perkara ini. Ini suatu benda yang sangat dikesalkan, sikap double standard yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan dalam perkara ini,” ujarnya.
Sepatutnya, kata beliau kerajaan BN perlu bertindak secara gentleman, bukannya dengan cara yang tidak beretika.
Menurutnya, pada 2004, mereka memanipulasikan berhubung dengan daftar pemilih dan PAS sudah mengesan tindakan mempergunakan pelajar yang masuk ke kampung-kampung untuk tujuan itu.
“Saya setuju pelajar harus didedahkan dengan pengetahuan ilmu politik tetapi bukan dengan politik kepartian dan dalam masa yang sama di universiti pula tidak dibenarkan sama sekali forum politik, dan khasnya, Akujanji yang dibuat oleh pelajar tersebut untuk mengekang minda pelajar dari memahami politik yang sebenar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan jika pelajar hendak didedahkan dengan politik, kerajaan perlu buka semula kebebasan pemahaman politik yang dibuat oleh semua pihak sebagaimana tahun-tahun 60-an, 70-an sehingga akhir 90-an.
“Kita hendak membina pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran politik, kematangan politik, tetapi sekarang Umno/BN memperalatkan pelajar terbabit,” ujarnya. p/s : Tak Mustahil Agenda UMNO ini akan dilaksanakan ke atas pelajar lepasan Al-Azhar juga... Apa tidaknya, kita lihat sekarang ini, Realiti, ada dikalangan guru J-Qaf yang lulusan Al-Azhar menjadi batu pelekong UMNO, dibayar untuk ceramah Islam Hadhari, Islam Hadhari ini Sesat, dah lah sesat, Menyesatkan orang lain pulak... sedarlah wahai Orang Islam khususnya warga Azhari, jangan kamu cenderung kepada kezaliman ... |