Standard Kita, Sekadar Penyokong Ker?
Menjadi satu kelebihan yang besar bagi mereka yang mengikuti siri tarbiyyah Islam yang diwajibkan kepada pendokong
PAS, iaitu
USRAH. Dengan mengikutinya, seolah-olah telah membaca banyak kitab (buku) agama. Sememangnya, bagi pendokong Gerakan Islam Yang Utama di Malaysia ini adalah Parti Islam Se Malaysia (PAS),
WAJIB hukumnya menghadiri Usrah ini. Sekiranya tidak hadir tanpa alasan yang Syar'ie, hukumnya adalah berdosa besar. Hanya mereka yang mendapat hidayat dan taufik, akan memahami akan hal ini.
Semalam, tersentuh perasaan dan jiwa, terasa tercabar dalam diri ini, terasa malu dibuatnya, terharu apabila kembali ke belakang menyoroti pengorbanan pejuang-pejuang Islam terdahulu, di kalangan para Sahabat r.anhum, bagaimana Iman dan Aqidah yang Nabi Muhammad saw terapkan dan mantapkan dalam jiwa mereka, sehingga mereka sanggup berkorban demi mendapat Keredhaan Allah taala, sekaligus merealisasikan sifat
'as-Sam'u, at-To'at, dan al-Wala', untuk memberi pengajaran dan pedoman untuk umat di masa mendatang.
Hari ini, ada segelintir golongan yang merasakan dirinya adalah orang yang ada keimanan, merasakan dirinya betul dan benar, merasakan dirinya yang terhebat, merasakan dirinya adalah terbaik, merasakan dirinya adalah suci, dan merasakan apa yang dibuatnya, difahaminya adalah tidak bercanggah dengan Syari'at. Mereka menganggap bahawa dengan penglibatan dalam Gerakan Islam, iaitu PAS, adalah Tidak Wajib. Mereka beralasan, PAS adalah parti politik semata-mata.
Saya tegaskan di sini, penglibatan seseorang yang mukallaf, yang memiliki aqal yang waras dalam Gerakan Islam PAS ini adalah hukumnya
WAJIB !
PAS adalah
Parti Yang Menekankan Soal Dakwah, Parti Yang Menekankan Soal Tarbiyyah, dan Parti Yang Tidak Menolak Politik. Ini adalah sejajar dengan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah saw, dengan melibatkan 3 elemen tadi dalam mencapai kemenangan Islam di Madinah dan Makkah yang akhirnya Islam telah bertapak, menguasai lebih 2 per 3 dunia. Itulah RAHSIA nya.
Hanya mereka yang
'Futur' dan 'Jahil' serta 'Tidak Faham' yang beranggapan PAS adalah sekadar parti politik, ditambah pula mereka bukan
'Pemain', tetapi mereka setakat
'Penyokong'. Amat malang bagi mereka yang berlata belakangkan pengajian Islam, bahkan Huffazul Quran, memiliki sikap ini, dan menyesatkan pemikiran anak didik mereka, sehingga anak didik mereka turut sesat dan terpesong daripada antara kewajipan yang disisihkan pada hari ini.
Berbalik kepada sikap orang-orang Muhajirin yang berhijrah bersama-sama Nabi Muhammad saw untuk mencari keredhaan Allah taala, sepertimana firman Allah taala di dalam Surah al-Hasyr ayat 8 yang bermaksud:
"(juga) bagi orang-orang faqir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari keredhaan Allah dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya."Walaupun ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai pembahagian harta rampasan perang, selain daripada harta rampasan itu diberikan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kaum kerabat baginda, juga diberikan kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan juga kepada anak-anak yang berjihad di jalan Allah taala, orang-orang muhajirin juga berhak menerima harta rampasan ini.
Orang-orang Muhajirin telah berhijrah dari kampung halaman mereka ke Madinah dengan meninggalkan tanahair yang tercinta, serta segala harta bendanya dan sanak saudara yang dikasihinya demi untuk mencari keredhaan Allah taala semata-mata.
Mereka ini berjuang untuk menegakkan agama Allah, mereka rela berkorban dan dibuang daerah, mereka keluar negeri dan semua harta benda mereka itu tidak penting baginya, kerana yang lebih penting dan utama bagi mereka ialah kelebihan anugerah dan keredhaan Allah taala.
Mereka bukan sahaja meninggalkan tanahair yang tercinta, malah mereka meninggalkan anak, isteri dan keluarga demi menyahut perintah Allah taala. Ada diriwayatkan di dalam Hadis ketika para sahabat yang hendak berhijrah itu, mereka telah didatangi oleh iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan datang dan berkata:
"Mengapakah kamu sanggup meninggalkan harta benda kamu, tanahair kamu, anak serta isteri kamu?" Namun semua godaan iblis dan syaitan itu diketepikan dan mereka tetap berhijrah ke Madinah dengan meninggalkan harta benda yang mereka sayangi. Maka dengan sebab itulah, mereka layak menerima sebahagian daripada harta rampasan itu.
Mereka disebut oleh Allah taala, sebagai orang-orang benar, dek kerana pengorbanan mereka meninggalkan kampung halaman, rumah tangga, sanak saudara dan harta benda, adalah kerana
IMAN yang benar serta keyakinan dan kepercayaan dengan perbuatan. Mereka tidak peduli, biar jatuh melarat menjadi miskin sebab yakin bahawa apa yang dilakukan oleh mereka adalah
BENAR.Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, sekadar muhasabah bersama. Sejauh manakah kita mengaplikasikan ilmu agama yang kita miliki selama ini? Sejauh manakah ayat-ayat Allah yang telah hafaz selama ini, kita realisasikan di dalam kehidupan kita? Sejauh manakah kita menyoroti perjuangan para Anbiya' alaihumussolatu wassalam, dan para sahabat, serta para pejuang Islam terdahulu dan terkini dalam menegakkan Islam secara praktikalnya?
Adakah standard kita pada hari ini hanya layak untuk berada di barisan PENYOKONG sahaja tidak PENDOKONG Gerakan Islam? Adakah kita layak dianggap orang yang beriman sedangkan kita sering mencipta pelbagai alasan untuk tidak melibatkan diri dalam Gerakan Islam? Tidak berdosakah kita apabila membiarkan masyarakat Islam yang Jahil pada hari ini terus dalam kejahilan yang semakin hari semakin jahil dan sesat dek kerana keterbatasan sebaran dakwah kita di kalangan orang tertentu sahaja? Di mana IMAN kita? Di mana KEYAKINAN kita? Di mana KEPERCAYAN kita? Kepada Siapa Tempat PERGANTUNGAN kita?
Al-Quran, as-Sunnah Nabi Muhammad saw adalah untuk DIAMALKAN dengan segala pancaindera kita. Bukan di bibir sahaja!