Ciri-ciri Kufur Zaman Kini
Semua kekufuran menurut sejarahnya mempunyai kaitan faktor-faktornya mengikut zaman, keadaan, dan tempat masing-masing berdasarkan perkembangan akidah, politik, ekonomi, masyarakat dan yang paling utama menjadi dasarnya ialah tidak beriman kepada Allah taala, yang merupakan satu-satunya Tuhan yang sebenar mengikut akidah yang sebenar. Jadi daripada sinilah lahirnya penyelewengan di dalam pelbagai aspek.
Apabila beriman kepada Allah taala itu menjadi punca aqidah yang sebenar, maka itulah sahaja yang dapat membetulkan segala tindak-tanduk manusia secara individu dan jemaah serta masyarakat.
Sesungguhnya, apa yang dikatakan kufur atau jahiliyyah itu ialah mengingkari pengabdian diri terhadap Allah taala yang meliputi tugas-tugas ibadat dan perlaksanaan hukum di bumi ini. Keingkaran itu tidak hanya merosakkan hubungan antara manusia dengan Allah taala tetapi juga hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungannya dengan segala bahan-bahan yang ada di muka bumi ini. Justeru itu, tidak pernah tercatat di dalam sejarah bahawa berlakunya penyelewengan aqidah tanpa disusuli dengan penyelewengan yang lain.
Mungkin aqidah itu ada tetapi adanya semata-mata adalah tidak mencukupi tanpa menggerakkan manusia ke arah benar-benar melaksanakan hukum Allah taala. Keadaan yang sedemikian pernah berlaku pada orang-orang Arab Jahiliyyah yang beriman dengan wujudnya Allah taala seperti firman Allah taala dalam Surah Luqman Ayat 25 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik)."
Sesungguhnya mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya kerana di samping itu mereka mengada-adakan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah taala walaupun secara wasitoh (perantaraan) semata-mata dan di dalam muamalat pula, mereka tidak mengendahkan Syariat Allah taala di mana dalam politik dan perundangan, mereka menerima dasar yang lain daripada ajaran Allah taala.
Firman Allah taala dalam Surah al-Maidah ayat 50 yang bermaksud: "Sesudah itu, Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal - kepada orang-orang Yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum Yang lebih pada daripada Allah."
Beriman dengan Allah taala dari segi Rububiyyah dan Uluhiyyah hendaklah dibuktikan juga dengan mentauhidkan Allah taala dari segi hakimiyyah (hukum-hukum).
Ciri-ciri kufur yang utama ialah tidak beriman kepada Allah taala dan tidak Islam (menyerah diri) kerana aqidah dan syariat atau Iman dan Islam itu tidak dapat dipisahkan. Apabila tidak melaksanakan hukum Allah taala di dalam segala sistem kehidupan, maka ini bererti menurut hukum nafsu yang sememangnya menjadi ciri-ciri Jahiliyyah yang juga lahir daripada tidak beriman kepada Allah taala dari aspek hakimiyyah dan mungkin juga dari aspek uluhiyyah kerana sesungguhnya Allah taala telah menamakan hukum yang lain daripada hukum-Nya adalah dengan nama Hawa Nafsu.
Firman Allah taala dalam Surah al-Maidah Ayat 49 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu berhukum di tangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah mengikut hawa nafsu mereka."
Jelasnya, cara mengikut hawa nafsu itu adalah berbeza dari masa ke semasa, dari umat ke umat, dari negeri ke negeri, tetapi tidak terkeluar dari prinsipnya, samada untuk kepentingan individu, atau jamaah tertentu dan sesungguhnya Allah taala itu Maha Suci daripada mempunyai muslihat diri-Nya melalui hukum-Nya.
To Be Continue ... |