Nifaq (Munafiq)
Lama rehat, sebenarnya tak juga. Kebetulan kerja. Dekat kerja, tak dapat nak update. Jadi kene tunggu sampai rumah, baru bleh update blog.
Munafiq ialah sifat dan amalan yang dilahirkan oleh seseorang berupa sifat dan amalan orang Muslim pada zahirnya sahaja, sedangkan pada hakikat dan hatinya tidak sedemikian, dan jika sekiranya apa yang tersembunyi di hatinya itu berupa perasaan yang tidak menafikan Iman, maka tidaklah menjadi kufur.
Apa yang menjadi perbincangan kita ialah jika sekiranya terdapat perasaan yang menafikan Iman walaupun lidahnya berikrar, maka dia tidak beriman di sisi Allah taala, tetapi di kalangan kita dia adalah tetap orang Islam, bermuamalahlah dengannya sebagai seorang Islam selagi tidak lahir kekufurannya.
Sesungguhnya Allah taala hanya memberitahu kepada kita tanda-tandanya sahaja dan terserahlah kepada si Munafiq itu untuk menyedari bahawa sesungguhnya Allah taala Maha Mengetahui segala apa yang tersembunyi di hatinya.
Di antara ayat yang mendedahkan sifat-sifat orang Munafiq ialah firman Allah taala dalam Surah al-Baqarah ayat 8 hingga 16 yang bermaksud:
" 8. Dan di antara manusia ada Yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
9. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang Yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
10. Dalam hati mereka (golongan Yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, Dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
11. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan".
12. Ketahuilah! Bahawa Sesungguhnya mereka itulah orang-orang Yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
13. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". mereka menjawab: "Patutkah Kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang Yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
14. Dan apabila mereka bertemu Dengan orang-orang Yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya Kami tetap bersama kamu, sebenarnya Kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang Yang beriman)".
15. Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba Dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
16. Mereka itulah orang-orang Yang membeli kesesatan Dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah".
Seterusnya, dalam Surah an-Nisa' ayat 138 hingga 146 turut mendedahkan keadaan-keadaan orang Munafik. Rasanya, eloklah sahabat-sahabat rujuk sendirilah yer... Sama-samalah kita renungkan. |