Syirik
Dikesempatan yang terluang ini, sebelum menunggu mata ni mengantuk, rasanya rugi jika saya tak manfaatkannya. Saya nak menyentuh tentang perkembangan Syirik, yang sekian banyak menular di kalangan orang Islam ini samada sedar atau tidak.
Perkataan syirik bermakna mempersekutukan Allah taala dengan sesuatu yang lain pada sifat Uluhiyyah-Nya ataupun pada sifat Rububiyyah. Maka sesiapa yang menganggap mana-mana satu dari sifat-sifat yang tersebut itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah taala nescaya dia telah melakukan syirik dengan Allah taala walaupun dia pada masa itu masih mengaku beriman dengan Allah taala.
Firman Allah taala dalam Surah Yusuf ayat 106 yang bermaksud: "Meskipun kebanyakkan mereka beriman kepada Allah taala, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari berbuat syirik".
Perkataan syirik juga mempunyai makna yang sama dengan kufur walaupun terdapat di kalangan ulama' yang membezakan di antara kufur dengan syirik tetapi apabila dilihat kepada mafhumnya maka ianya tidaklah mempunyai perbezaan yang boleh dianggap bahawa dua perkataan itu mempunyai makna yang terlalu berlainan.
Syirik dengan makna menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam semua perkara. Oleh kerana hujjah yang tidak ditolak lagi tentang keesaan Allah taala dan keagungannya, maka sesiapa yang menyekutui-Nya dengan sesuatu yang lain samada pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya, termasuk juga hukum syariat-Nya adalah bermakna telah kufur dengan hakikatnya yang sebenar. Begitu juga seseorang yang kafir adalah dianggap syirik kerana mencabar wujud-Nya Allah taala, keEsaan-Nya dan kesempurnaan-Nya apabila ia menerima sesuatu yang lain.
Boleh juga dianggap syirik apabila mendustakan risalah Nabi Muhammad SAW atau mendustakan sebahagian daripadanya kerana telah mendustakan sesuatu yang diwajibkan oleh Allah taala supaya beriman kepada-Nya. Sesungguhnya Allah taala telah membuktikan hujjah yang jelas dan kuat tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW. Segala apa yang disabda, diamal dan diakui oleh Rasulullah SAW adalah wahyu daripada Allah taala. Maka barangsiapa yang engkar walaupun sebahagian daripadanya adalah bermakna dia tidak mengiktiraf apa yang dikemukakan oleh Allah taala, tidak mengakui kesempurnaan dan kebenaran hujjah-hujjah-Nya. Jadi, dengan itu dia telah menganggap sesuatu yang lain atau dirinya sendiri menyekutui Allah dalam menentukan sesuatu itu benar atau pun tidak benar.
Adalah juga dianggap syirik kepada orang-orang yang tidak redha dengan Hukum Allah taala atau sebahagian daripada hukum-Nya dan menganggap hukum yang lain lebih baik atau lebih adil daripada hukum Allah taala.
Akhirnya, dengan berpandukan keterangan di atas, mudah-mudahan kita semua tidak tergolong di kalangan mereka yang Syirik kepada Allah taala, tidak kira apa status kita. Hari ini, pemahaman syirik disempitkan maknanya dan pemahamannya yang sebenar. |