Riddah (Murtad)
Murtad bermakna kembali kepada kufur setelah Islam. Ijma' ulama' menyatakan bahawa seseorang Muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah taala adalah menjadi Murtad; iaitu kufur setelah Islam kecuali dia benar-benar Jahil. Tetapi sekiranya diberitahu dan ditegakkan hujjah namun dia masih tetap dengan keingkarannya maka adalah dihukumkan kufur dan murtad.
Sesungguhnya ingkar itu berlaku dengan perkataan dan perbuatan yang tidak mungkin dita'wil melainkan kufur menurut nas yang jelas. Adalah dianggap perkataan sebarang perkara yang menepati maksudnya seperti tulisan samada yang berbentuk buku atau maqaalah di dalam akhbar, majalah, juga resolusi-resolusi yang diambil oleh satu-satu persidangan atau seumpamanya.
Sesungguhnya hukum murtad itu tidak diambil terhadap perkara-perkara yang kurang jelas atau pun sangkaan semata-mata kerana ianya mestilah berlaku secara jelas dan tidak mungkin dita'wilkan di antaranya dalam perkara-perkara yang dipanggil 'Maklum Minaddin Biddorurah' dalam hukum yang diketahui oleh walaupun seorang awam, juga di dalam perkara yang ada nas yang terang daripada al-Quran atau hadis atau ijma' dan Qias yang nyata. |