Kekufuran juga lahir dengan wujudnya Toghut yang berkuasa menurut zaman masing-masing yang membawa wadah yang mengingkari ajaran Allah taala dan meninggalkan syariat-Nya dengan memaksa orang-orang lain supaya sesat bersamanya.
Firman Allah taala dalam Surah al-Baqarah Ayat 257 yang bermaksud: "Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang Yang beriman. ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang Yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut Yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."
Contoh toghut yang dihuraikan secara panjang di dalam al-Quran ialah Fir'aun laknatullah. Mengapakah Fir'aun dianggap toghut? Firman Allah taala dalam Surah Toha Ayat 24 yang bermaksud: "Pergilah kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampau batas (toghut)."
Fir'aun dianggap toghut (melampau batas) kerana mengaku menjadi Tuhan, bukannya dengan makna ia mengaku bahawa dialah yang menjadikan alam ini tetapi adalah dengan makna bahawa dialah yang berkuasa dengan hak undang-undang dan peraturan yang diciptanya sendiri untuk menghukum rakyat. "Mengaku Tuhan" bukan dengan hanya pengertian bahawa rakyat melakukan upacara ibadah terhadapnya, bahkan Fir'aun juga mengaku adanya Tuhan, tetapi Fir'aun masih lagi berlagak seperti Tuhan dengan memaksa rakyat supaya patuh kepada hukum dan sistem yang diciptakannya. Allah taala juga mentafsirkan ucapan Fir'aun melalui Firman-Nya melalui Surah an-Nazi'at ayat 24 yang bermaksud: "Aku Tuhan kamu Yang Maha Tinggi."
Dengan ucapannya di satu masa yang lain, Firman Allah taala dalam Surah az-Zukhruf Ayat 51-53 yang bermaksud:
51. Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?
52. "Bahkan Bukankah Aku lebih baik daripada orang Yang hina keadaannya ini, dan Yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
53. "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
Jelas sekali perbandingan yang dibuat di antara dirinya yang menjadi pihak yang berkuasa dengan segala rupa kemewahan kebendaan sedangkan Nabi Musa alaihissalam tidak ada kuasa dan kebendaan. Bahkan menganggap apa yang dibawa oleh Nabi Musa alaihissalam itu membawa kerosakan di muka bumi.
Bersambung ... |