Antara Undi dan Dosa
Muslimin sidang jemaah sekalian,
Sabda Nabi SAW :
Sesiapa yang melantik seseorang dari puaknya/kumpulannya kerana Taasub sedangkan ada di kalangan mereka orang yang lebih diredhai Allah taala daripadanya, maka dia telah mengkhianati Allah taala, RasulNya dan orang-orang yang beriman.
Memilih pemimpin adalah satu tugas yang amat berat. Oleh itu, orang Islam perlu sedar bahawa kesilapan memilih pemimpin akan menyebabkannya menderita di hari akhirat. Ini disebabkan pemilihan pemimpin ada kaitan dengan Allah taala, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Memilih pemimpin yang tidak layak dianggap menderhakai Allah dan RasulNya. Orang yang menjadi pemimpin akhirnya akan mencorakkan masa depan masyarakat dan Negara.
Mari kita renung sabda Nabi SAW :
Pemimpin yang lemah untuk melaksanakan kebenaran (Islam) akan dilaknat Allah taala.
Pemimpin yang tidak dapat memandu kehidupan rakyat menurut Islam pastinya dilaknat. Apatah lagi kalau pemimpin itu tidak mahu Islam, sudah pasti seksaan Allah akan berganda. Namun, siapakah yang melantik mereka? Bagaimanakah dengan orang ramai yang menentukan kepimpinan tadi?
Sabda Nabi SAW :
Sesiapa yang dipertanggungjawabkan mengurus urusan orang Islam, lalu dia melantik seseorang kerana kasihnya, maka dia mendapat laknat Allah. Allah tidak akan terima segala kebajikan dan amalannya.
Sidang jemaah sekalian,
Betapa bahayanya kita di hari akhirat kelak sekiranya kita memilih pemimpin berdasarkan hubungan keluarga atau kebendaan dan perasaan ta'sub dengan mengenepikan tujuan pelantikan tersebut. Hadis di atas dan hadis permulaan tadi menjelaskan kepada kita bahawa perlantikan yang tidak tepat, akan memusnahkan kita. Kita dianggap mengkhianati Allah taala, Rasulullah SAW dan semua orang yang beriman, di samping segala amalan yang kita lakukan tidak diterima Allah taala. Natijah daripada itu pastinya neraka sebagai tempat kembali.
Kehidupan masa depan ditentukan dalam pemilihan pemimpin. Pemimpin yang ingin melaksanakan Islam itulah yang mesti dipilih dan dilantik supaya Negara jadi aman, makmur, serta mendapat keberkatan Ilahi. Pemimpin yang tidak suka kepada Islam, kita sokong dia kerana hubungan baik, keluarga atau ingin mendapat habuan kebendaan, pasti Negara akan rosak dengan maksiat dan pelbagai jenis kemungkaran yang berlaku dan kesannya kita akan diazab oleh Allah taala.
Kepimpinan amat penting. Sebab itu kita diarah mematuhi arahan kepimpinan. Nabi SAW memberikan panduan dalam mentaati mereka dengan sabdanya:
Mendengar dan mematuhi arahan adalah wajib kepada setiap individu muslim dalam perkara yang disukai dan dibenci, kecuali dia diarah melakukan maksiat. Apabila dia diarah melakukan maksiat, maka ketika itu dia tidak boleh dengar dan tidak boleh patuh.
Allah taala telah berfirman dalam Surah al-Syuara': 150-152, yang bermaksud :
150. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku; 151. Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melewati batas, 152. Yang membuat kerusakan di muka bumi dan tidak mengadakan perbaikan".
Pesanan Allah taala dan Rasul SAW ini perlu kita hayati betul-betul, kerana kepimpinan manusia bukanlah mutlak yang mesti diikuti. Kita kena lihat apakah mereka mengikut ajaran Islam atau menyimpang dari Islam. Kalau mengikut syariat, perlu disokong dan kalau bercanggah, hendaklah dijauhi dan disingkirkan.
Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya akan wujud selepas aku ini, pemimpin-pemimpin yang melakukan amalan bukan tujuan ketaatan kepada Allah taala. Sesiapa yang bersama mereka melakukan kezaliman (derhaka kepada Allah), maka dia bukan dari golongan ku dan aku bukan daripadanya. Sesiapa yang tidak bersama dengan mereka dan tidak menolong Bantu kezaliman yang dilakukan mereka, dia dari golongan ku dan aku daripadanya.
Muslimin sidang jemaah sekalian,
Bayangkanlah kalau kita menyokong kumpulan tersebut yang tidak mahu menegakkan Negara Islam, Nabi SAW tidak mengaku sebagai umatnya. Oleh itu, urusan pemilihan atau dalam dunia demokrasi disebut pilihanraya, kita tidak boleh mengundi mana-mana calon dari golongan yang terang-terang tidak mahu meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan hidup.
Kita wajib memilih golongan yang ingin menegakkan Negara Islam dan sudah semestinya golongan ini berpandukan al-Quran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qias. Lebih daripada itu, kita perlu melihat bahawa kepimpinan mereka diterajui oleh ulama' yang benar-benar faham syariat Islam dan berusaha menjadikan Islam sebagai agama yang mentadbir kerajaan.
Sehubungan dengan itu juga, kita hendaklah bersama dengan Jemaah Islam yang berusaha mendaulatkan Islam. Kegagalan kita bersama Jemaah ini akan membahayakan kita di hari akhirat kelak.
Sabda Nabi SAW:
Sesiapa yang mati dalam keadaan terasing/terkeluar dari Jemaah Islam, maka sesungguhnya dia mati dengan kematian jahiliyah (tidak Islam).
Oleh itu, ambillah iktibar dari nas-nas yang dibentangkan di atas untuk menyedarkan kita betapa pentingnya urusan mengundi yang kemudiannya akan menentukan siapakan yang berhak membentuk kerajaan. Nantinya kerajaan inilah yang akan mencorakkan masa depan Negara. Kesilapan kita memilih mereka, bermakna merosakkan Negara dan mengundang kemurkaan Allah taala.
Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah taala dengan memberikan undi kepada golongan yang beriman yang mahu mendaulatkan Islam. InsyaAllah Negara akan selamat dengan terlaksananya Islam dan kita akan mendapat keredhaan Allah taala dan selamat di dunia dan akhirat. |