Haji : Adat atau Ibadat ?
Umat Islam di seluruh dunia berbondong-bondong menyahut panggilan Ka’bah, untuk menunaikan haji. Bagi orang yang mempunyai kemampuan dan terpilih ke Baitullah pernah pergi sahaja memahami kegembiraan tersebut. Untuk mengerjakan haji perlu pengorbanan harta benda, tenaga dan masa. Namun ia tidak menjadikan penghalang bagi umat Islam untuk mengerjakanya bahkan semua orang Islam sanggup bekerja bermati-matian untuk menjadikan hasrat ke Mekah itu suatu kenyataan. Semua orang Islam memasang cita-cita untuk mengerjakan haji tanpa mengira mazhab, semua mengimani bahawa mengerjakan haji itu satu daripada rukun Islam. Ketika mengerjakan haji tiada perbezaan, semua manusia adalah sama tanpa mengira pangkat, keturunan,si kaya atau si miskin semua datang dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah yang maha Esa .
Namun seramai mana yang memahami di sebalik perintah pengerjaan haji tersebut? Seramai mana memahami atau mengambil iktibar di sebalik simbolik-simbolik perbuatan atau perlakuan dalam menyempurnakan kerja-kerja haji tersebut. Cukupkah kita sekadar memahami syarat-syarat sah haji dan rukun-rukun haji, tanpa kita memahami dan menghayati intipati dari perintah dan suruhan Allah pada umat Islam. Adakah pemergian ke Mekah itu sekadar membolehkan kita mendapat gelaran haji dan hajjah, atau sekadar mencukupkan syarat rukun Islam semata-mata. Jika dulu orang menghormati status haji dan hajjah kerana biasanya orang yang sudah mandapat gelaran ini berusaha menjaga gelaran itu dengan adab dan adat yang sepatutnya bagi seorang haji atau hajjah, dengan akhlak dan pakaian yang selayaknya, kini ramai pergi keMekah bukan kerana mereka benar-benar menghayati dan memahami kewajipan menunaikan rukun Islam tersebut, tetapi kerana mereka mampu dan yang lebih mendukacitakan mereka pergi ke Mekah saolah-olah sama seperti mereka melancong ke tempat lain di dunia ini .
Kini orang sudah merendahkan gelaran haji dan hajjah kerana perbuatan segelintir manusia yang sudah bergelaran haji dan hajjah tetapi perbuatan mereka seolah-olah orang yang jahil agama, bahkan mereka boleh berkata “ada apa dengan gelaran ia tidak mengubah apa-apa". Berapa ramai orang yang sudah menunaikan haji tapi masih melakukan maksiat contoh yang paling ketara semenjak akhir-akhir ini artis-artis berlumba-lumba ke Mekah, tapi bila balik masih mengekalkan cara hidup mereka yang lama masih mendedahkan aurat, pergaulan masih bebas, walaupun bukan semua artis yang ke Mekah begitu tetapi mereka golongan yang mudah diambil menjadi contoh kerana kehidupan mereka begitu ketara dan dikenali ramai .
Dalam buku bimbingan mukmin ada disebutkan “Apabila sampai ke negerinya hendaklah ia menuju masjid untuk sembahyang dua rakaat, setelah sampai ke rumah jangan sampai melupakan nikmat-nikmat yang telah di kurniakan Allah kepadanya daripada menziarahi haramnya (Mekah dan Madinah dan menziarahi makamnya Nabi besar Muhammad s.w.s.). Tanda mengkufuri nikmat ini atau melupakanya ialah dengan kembali semula kepada kelalaian dan mengikut hawa nafsu serta semakin suka membuat maksiat-maksiat kerana itu bukanlah tanda haji yang mabrur. Tanda haji mabrur ialah dengan semakin cenderung hatinya dan gerak gerinya kepada amalan-amalan akhirat serta menyiapkan diri untuk menemui Tuhan yang memiliki rumah Allah iaitu ka’bah .”
Apakah ketika di dalam ihram yang hanya terdiri dua helai kain tidak mampu menginsafkan kita, tidak ada yang lebih istimewa dan mulia di sisi Allah melainkan orang yang bertakwa. Ketika di Arafah dengan lautan manusia yang seragam dan sewarna tidakkah kita terasa bahawa bagaimana hebatnya hari pembalasan dengan seluruh kehidupan manusia dari Adam hingga ke akhir kehidupan makhluk di muka bumi ini dihimpunkan seluruhnya di sana.
Kesimpulanya ketika kita menunaikan haji kita bukan sesiapa kita hanya hamba Allah yang lemah dan sentiasa mengharap kasihan belas dari Allah yang maha kuasa, sayugialah selepas kita balik pun kita kena mengingatkan diri kita bahawa kita hanyalah hamba Allah, kita tidak layak menzalimi, kita tidak layak menolak atau mengubah hukum Allah, kuasa, harta, pangkat tidak kekal dan tidak mampu menyelamatkan kita dari azab Allah. Dalam suatu kisah ketika Ali melakukan Tawaf bersama Rasulullah, Ali bertanya “Ya Rasululla apakah kelebihan Baitullah ini ? , Jawab Nabi “Allah telah mendirikan rumah ini di dunia untuk penebus dosa-dosa umatku”.
Mohonlah keampunan Allah, mudah-mudahan mereka-mereka yang menunaikan haji mendapat haji yang mabrur. |