Terengganu negeri paling miskin di Malaysia?
KUALA TERENGGANU, 18 Feb (Hrkh) - Terengganu kini mungkin tersenarai sebagai negeri yang paling ramai rakyat termiskin mengatasi Sabah berpandukan senarai penerima bantuan Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2007.
Ini kerana, seramai 98,979 orang telah tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut dengan pembiayaan dana khas RM30,633,800.00 dan purata masing-masing menerima RM309.50 seorang.
Namun begitu, masih terdapat di kalangan orang yang benar-benar miskin tetapi tersisih serta dinafikan hak mendapat bantuan tersebut kerana bermotif politik.
PAS Terengganu menyesali perlakuan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam penggunaan dana khas serta penilaian terhadap penerimanya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali menyesali terhadap apa yang dilakukan oleh pemimpin Umno dalam penggunaan bantuan Hari Raya Aidil Fitri tahun 2007 lalu.
"Saya menyesali apa yang dilakukan oleh pemimpin Umno Terengganu dalam penggunaan dana khas dan penilaian terhadap penerima bantuan Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2007 lalu diberikan kepada orang-orang tertentu.
"Jumlah dana untuk negeri Terengganu tahun 2007 sebanyak RM49,539.900 dengan jumlah penerimanya seramai 98,979 orang,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, semalam.
Ini bermakna, katanya menggambarkan hampir 10 peratus daripada rakyat negeri Terengganu di bawah kategori miskin dan termiskin.
Menurut Dato' Mustafa, angka tersebut bukanlah angka sebenar orang miskin tetapi telah berlaku penyelewengan dalam senarai penerima bantuan tertentu yang tidak sepatutnya dengan tujuan politik.
"Saya ada bukti orang yang tidak selayaknya menerima wang dana khas termasuk orang yang gajinya ribu-ribu seperti pegawai bank, peniaga emas dan lain-lain.
"Sedangkan ada orang yang sepatutnya layak tetapi tidak menerima bantuan itu kerana sebab-sebab politik," jelasnya.
Apa yang berlaku, kata beliau itu menggambarkan dakwaan PAS selama ini bahawa pemimpin Umno/BN sebenarnya tidak prihatin dengan rakyat.
Menurutnya, bukan sahaja suatu pengkhianatan tetapi penyelewengan terhadap tugas yang diberi amanah kepada mereka (Umno).
"Saya harap dalam pilihan raya yang akan datang ini rakyat harus menilai dengan memberi suatu pengajaran kepada pemimpin Umno/BN supaya keadilan dapat ditegakkan dan rakyat benar-benar dibela atas prinsip kebajikan," ujarnya. |