Malu Jika Tidak Dapat Menderma
Tidak ada sifat-sifat yang paling dimuliakan dan diagungkan oleh bangsa Arab baik pada zaman Jahiliyah mahupun di zaman Islam lebih dari sifat pemurah dan berani. Para penguasa dan para raja sangat senang bila disebarluaskan kepemurahan dan memuji-muji mereka itu mengkhususkan dua sifat yang utama tadi dengan syair-syair mereka. Kadang kala mereka memuji dengan sesungguhnya dan kadang kala sebaliknya. Ada perlu mereka memuji secara berlebih-lebihan.
Tidak ada sifat-sifat yang paling dibenci oleh bangsa Arab pada waktu itu lebih dari membenci dua sifat yang buruk iaitu penakut dan bakhil. Bagi mereka tidak ada sifat yang lebih buruk untuk mencela lawan selain sifat penakut dan bakhil. Bila seorang penyair hendak memperolok-olokkan atau mencela lawannya maka ia memperolok-olokkan dan mencela dengan sifat penakut dan bakhil. Sifat dermawan pada Nabi Muhammad s.a.w adalah sifat lain dari yang lain. Mempunyai corak baru yang belum pernah dikenal oleh bangsa Arab, juga belum dikenal oleh bangsa yang lain.
1. Bukan Mencari Pujian
Kedermawanan baginda bukanlah untuk mencari pujian atau untuk menutupi kekurangan. Bukan pula untuk berbangga-bangga atau untuk mencari keuntungan serta sanjungan. Tetapi kedermawanannya adalah semata-mata kerana Allah dan untuk mencapai keredhaanNya. Melindungi agama untuk menguatkan dakwah dan untuk melawan orang-orang yang menghalangi agama Allah.
Sifat pemurah baginda adalah untuk menolong kaum muslimin yang miskin kerana telah membelanjakan harta mereka sampai habis di jalan Allah. Membantu orang yang tidak sanggup bekerja lagi dan untuk menolong yatim piatu. Para hamba yang sedang menebus diri mereka dari majikannya dan untuk menarik hati orang-orang yang sudah cenderung untuk masuk Islam untuk menambah kekuatan Islamnya.
2. Mementingkan Orang Lain Dari Diri Sendiri
Sifat pemurah Nabi sampai mengalahkan kepentingan dirinya sendiri dan keluarganya. Baginda memberikan sesuatu barang padahal baginda sendiri sangat memerlukan barang itu. Baginda memberikan pemberian yang banyak sedang baginda sendiri memerlukan sedikit saja dari apa yang diterimanya itu kerana baginda boleh menahan diri dan bersabar. Bagi Rasulullah cukuplah hidup sebagai orang yang zuhud. Rasulullah dianggap sebagai seorang pelindung sebagai seorang bapa yang penuh rasa kasih sayang mendahulukan keperluan anak-anaknya dari pada keperluan dirinya sendiri.
Inilah martabat yang tinggi dari sifat pemurah yang dipuji oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: "Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan:"(Al-Hasyr:9)
Lantaran inilah Sayyidah 'Aisyah berkata: "Rasulullah SAW tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut-turut hingga baginda meninggal dunia. Sesungguhnya jika kami mahu, kami boleh makan kenyang tetapi memang kami mengalahkan kepentingan diri kami sendiri."
Rasulullah SAW memberikan sesuatu yang para raja tidak boleh melakukannya, baginda hidup seperti orang fakir. Kadang kala dalam masa satu bulan sampai dua bulan tidak ada api menyala di rumah baginda bahkan kadang kala kerana lapar baginda mengikat perutnya dengan batu.
3. Tidak Mengecewakan Orang Lain
Rasulullah SAW melakukan sedekah di jalan Allah selagi baginda masih mampu. Meskipun demikian baginda masih menganggap sedekahnya sedikit sekali. Baginda memberikan pemberian yang banyak, tetapi beliau tidak menganggapnya banyak. Baginda pasti selalu memberi asalkan untuk keperluan Islam dan belum pernah menolak terhadap sesuatu permintaan.
Suatu ketika datang seorang kepada baginda untuk meminta sesuatu. Lalu diberilah kambing yang banyak, sehingga memenuhi jalan antara dua bukit kemudian orang itu kembali kepada kaumnya dan berkata: "Masuk Islamlah kamu sekalian, sesungguhnya Muhammad apabila memberi maka dia seperti orang yang tidak takut kepada kemiskinan."
Satu ketika Nabi menerima 90,000 dirham, kemudian wang itu diletakkannya di atas tikar lalu dibahagi-bahagikan kepada orang ramai dan baginda tidak menolak sesiapapun yang meminta sampai wang itu habis.
Ketika baginda kembali dari perang Hunain, datang orang-orang Arab Badwi dan meminta sesuatu. Orang-orang tersebut memaksa baginda ke sebuah pohon dan merampas bajunya. Baginda berkata: "Kembalikanlah bajuku itu. Jika aku mempunyai haiwan sembelihan sebanyak pohon duri ini pasti akan aku bahagi-bahagikan kepada kamu sekalian dan kamu sekalian tidak akan menemukan aku sebagai seorang bakhil, seorang pembohong atau seorang penakut.
Ketika wang dari Bahrain disampaikan kepada baginda, maka baginda berkata: "Letakkanlah wang itu di masjid sedangkan jumlah wang itu yang terbanyak yang pernah diterimanya. Kemudian baginda solat di masjid itu, tanpa menoleh kepada wang tadi. Ketika selesai sembahyang baginda duduk dekat wang itu dan memberikannya kepada setiap orang yang memintanya kemudian baru berdiri setelah wang itu habis."
4. Merasa Malu Tidak Dapat Menderma
Puncak dari pada kedermawanan Rasulullah SAW ialah merasa malu jika tidak dapat memberi kepada seseorang yang meminta kepadanya. Baginda merasa malu kalau orang yang meminta itu pulang dengan tangan kosong. Ada seorang datang dan meminta sesuatu. Baginda berkata: "Aku sekarang tidak mempunyai apa-apa, tetapi kamu belilah keperluanmu atas tanggunganku, nanti bila aku telah mempunyai wang akan aku bayar.
Kemudian Umar bin Khathab berkata: "Wahai Rasulullah, orang itu telah engkau beri sebelum ini, sesungguhnya Allah tidak membebanimu dengan sesuatu yang engkau tidak mampu memikulnya." Rupanya Nabi tidak senang terhadap kata-kata Umar itu, lalu seorang dari Anshar berkata: "Wahai Rasulullah, berilah dan jangan khuatir bahawa Allah akan memberimu hanya sedikit." Nabi lalu tersenyum dan wajahnya kelihatan berseri-seri kemudian baginda berkata: "Inilah yang diperintahkan kepadaku." |