Antara Jenis Hasutan Syaitan
Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 156 yang bermaksud: "Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) Yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh". (Apa Yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) Yang demikian itu: penyesalan Dalam hati mereka."
Di dalam ayat ini, Allah taala menjelaskan antara bentuk hasutan yang menggongcangkan serta menggelincirkan orang-orang yang kufur, dengan peringatan sebagai berikut:
Jangan hendaknya orang-orang Mukmin itu berkeadaan seperti orang yang kufur. Dimaksudkan orang-orang kufur di sini ialah, orang-orang munafik seperti Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya. Orang-orang yang kufur itu bilamana mendapati di antara rakan-rakan mereka ada yang berjalan di muka bumi (kerana belayar berniaga) lalu mati di tengah jalan atau ada yang berperang (baik di tanah airnya atau di negeri orang) lalu terbunuh, mereka pun berkatalah kepada kawan-kawan mereka yang sealiran nifak dan kufurnya dengan kata-kata begini: "Kalaulah mereka itu menetap saja bersama-sama kami, tiadalah mereka mati atau terbunuh."
Kata-kata demikian tidak layak dikeluarkan oleh orang-orang yang benar-benar beriman. Hanya orang-orang yang kufur jualah yang layak menyebutkannya. Maka kerana itu, pulalah mereka (orang munafik itu) digelarkan oleh Allah di dalam ayat ini sebagai orang yang kufur iaitu orang yang tidak percaya serta tidak yakin.
Kemudian Allah menjelaskan bahawa kata-kata tersebut adalah kata-kata yang bersifat kufur, akibatnya Allah menjadikan ianya sesalan dan kedukaan. Sesalan dan kedukaan inilah yang melemahkan mereka daripada berjihad dan berperang. Akhlak demikian janganlah dicontohi oleh orang-orang yang beriman supaya tidak pula melemahkan semangat masing-masing.
Dewasa ini, setengah golongan takut untuk berjuang dalam PAS, menampakkan diri dalam PAS, bersama-sama dengan perjuangan PAS, hasil daripada kata-kata daripada Iblis yang bertopengkan manusia yang sekiranya aktif, bersama-sama, berjuang dalam PAS, nescaya samada akan dipecat, akan ditukar, akan diancam, akan dicela, akan diugut dan akan...akan..akan lagi. Walaupun hakikatnya tidaklah semua, tetapi hampir kepada majoriti. Mudah-mudahan kita tidak termasuk di kalangan mereka yang pengecut dan penakut serta kufur kepada Allah. |