Ajal : Anytime, Anywhere
Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 156 yang bermaksud : "Allah itulah yang menghidupkan dan mematikan. Dan Allah melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan."
Demikian Allah menjelaskan, iaitu Dia sahajalah yang memegang tampuk hidup atau matinya makhluk, baik belayar ataupun menetap, bertempur di medan perang atau duduk di rumah bersenang lenang, adakah siapa-siapa dapat melindungi dari kematian? Ketahuilah, setiap ajal yang telah ditetapkan oleh Allah pantang berselisih dari waktunya.
Dalam hubungan ini, saya bawakan semua kisah yang diriwayatkan oleh Abu Sa'ud seperti di bawah ini: "Bahawasanya Malakulmaut (malaikat yang kerjanya mencabut nyawa) telah menghadiri suatu majlis di balai penghadapan raja Nabi Sulaiman alaihissalam, di mana rakyatkan sedang menghadap baginda a.s. Maka Malakulmaut itupun memandang kepada salah seorang yang hadir dengan pandangan yang menggerunkan.
Apabila Malakulmaut itu berdiri, tanyalah orang itu kepada Nabi Sulaiman a.s : "Siapakah gerangan orang itu tuanku?" Dijawab oleh Nabi Sulaiman a.s :"Dia itu Malakulmaut." Orang itupun memohon: "Tuanku, hantarkanlah hamba dengan perantaraan angin ke alam yang lain, kerana saya lihat dia amat menggerunkan saya." Maka Nabi Sulaiman a.s memerintahkan angin menerbangkannya jauh-jauh di alam lain.
Selang tidak berapa lama kemudian, datanglah balik Malakulmaut menemui Nabi Sulaiman a.s untuk menceritakan kisahnya begini: "Saya telah diperintahkan mencabut nyawa orang itu di saat saya menghadiri majlis tuan, tetapi tempatnya bukan di sini, nun jauh di alam lain. Apabila saya mendapati dia berada di sini, saya kehairanan kenapa dia masih di sini, bilakah agaknya dia sampai ke tempat yang ditentukan untuk mencabut nyawanya, sedangkan tempat itu tersangat jauh?
Dengan tidak semena-mena dia telah diterbangkan angin seketika itu juga ke tempat di mana nyawanya telah saya cabut, tepat tidak berselisih walau sedikitpun dari waktu yang ditentukan ajalnya.
Demikian Allah taala mengakhiri ayat ini dengan menjelaskan bahawa baik orang yang mukmin atau yang kafir, yang terbit dari perkataan atau perbuatan mereka, dari jenis yang baik dan yang buruk, semuanya diketahui oleh Allah untuk diperhitungkan dan diberi pembalasan yang sewajarnya. Sama-samalah kita fikirkannya ... |