Kesabaran Seorang Perempuan Yang Dirasuk
Ata' bin Abi Rabah berkata: Ibnu Abbas r.a telah bertanya kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepada engkau seorang perempuan ahli syurga ?"
Jawab Ata': "Bahkan, siapakah perempuan itu ?"
Ibnu Abbas berkata: "Perempuan hitam itu telah menemui Rasulullah s.a.w mengadu ia telah dirasuk."
Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu: "Jika engkau tahan dan sanggup bersabar maka Syurga bagimu, sekiranya engkau tidak tahan dan tidak sanggup bersabar aku akan mendoakan engkau supaya engkau pulih segar." Jawab perempuan itu: "Aku tahan dan sanggup bersabar (maka baginya syurga). (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari sini dapatlah kita satu keterangan, bahawa penyakit sarak atau rasukan bukanlah ia sesuatu yang baru tetapi telah diketahui sejak zaman berzaman dan zaman Nabi dan para sahabat.
Sekarang ini, penyakit akibat rasukan ini adalah berada dalam skop SIHIR yang berpunca daripada hasad dengki sesetengah manusia yang tidak menyedari bahawa apa yang dilakukannya itu merupakan dosa besar. Tetapi kadang-kadang, ada juga yang tahu, tetapi tetap melakukannya kerana terlampau benci dan rasa ingin menghancurkan temannya itu.
Sesungguhnya, bagi pembuat sihir ini, azab yang amat pedih bagi mereka. Ditambah pula, mereka telah menyekutukan Allah taala, bertuhankan iblis laknatullah. Maka, sememangnya dia telah kufur terhadap Allah taala. Bukan nak dikata, hal ini turut berlaku kepada pemimpin-pemimpin negeri, dan negara. Bahkan pemimpin yang berada di kampung pun ada.
Saya berpesan kepada si pelaku dosa besar ini agar insaf dan kembali kepada ajaran Allah taala. Jangan membinasakan diri dengan melakukan dosa besar ini, kelak semua akan merana samada di dunia dan akhirat. |