Perwakilan terima usul tergempar tindakan pesalah murtad
Perwakilan Muktamar PAS kali ke-53 hari ini menerima sebulat suara usul tergempar Dewan Pemuda PAS supaya murtad dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah. Perwakilan Pemuda, Abdullah Abdul Karim berkata walaupun umat Islam umumnya merasa gembira dengan mahkamah menolak permohonan rayuan Azlina Jailani (Lina Joy) namun dibimbangi kejadian yang sama akan berulang dan akan memberi implikasi yang buruk kepada umat Islam.
Sedangkan dalam kes Lina Joy hanya melibat untuk menukar status agama di dalam kad pengenalannya dan mengisytiharkan bahawa orang Islam tidak boleh murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan kecuali dengan kebenaran Mahkamah Syariah, katanya.
"Melihat kepada kes ini yang sudah tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,sesiapa yang murtad sekadar akan akur dengan keputusan tersebut.
Namun, mereka yang telah merosakkan nama Islam dan menyebabkan suasana tidak senang ini, tidak dikenakan sebarang tindakan dan hukuman sewajarnya kerana murtad tidak dianggap sebagai satu kesalahan jenayah, katanya.
Setakat ini katanya hanya negeri tertentu sahaja yang mempunyai peruntukan undang-undang mendakwa mereka yang murtad dan hukum yang dikenakan seperti tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan namun ianya masih tidak mencukupi untuk membendung gejala murtad ini berleluasa.
"Pemuda mahu PAS mendesak kerajaan demi menjaga kepentingan akidah umat Islam," katanya.
Dalam masa yang sama Pemuda PAS mahu Ahli Parlimen PAS, AJK PAS Pusat bersama- sama NGO terus melakukan tindakan proaktif dalam menangani gejala ini supaya semakin membarah.
PAS juga disarankan untuk mengadakan muzakarah dengan pelbagai pihak dan sekiranya tidak berjaya, membawa cadangan dan usul ini ke parlimen sebagai rang undang-undang 'Private bill'.
Banyak pihak merasa lega dan melahirkan rasa syukur apabila dua daripada tiga hakim yang mengadili kes Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jailani, 43, untuk membuang perkataan Islam dalam kad pengenalan, telah menolak permohonannya Rabu lalu. Hakim berkenaan yang terdiri dari Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Dato' Allaudin Mohd Sheriff memutuskan bahawa Mahkamah Syariah ada kuasa menentukan sama ada seseorang boleh murtad atau tidak.
Katanya, mahkamah boleh mengenakan syarat untuk murtad.
Oleh itu mereka menyimpulkan bahawa Artikel 11 tidak membenarkan Azlina untuk menukar agama sesuka hati.
Katanya, Azlina hanya boleh murtad mengikut undang-undang Syariah. Dengan itu kedua mereka menolak permohonan Azlina Jailani.
Walaupun Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato' Richard Malanjum tidak setuju dengan penghujahan Tun Fairuz dengan mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi di mana permohonan untuk menukar status agama kepada Mahkamah Syariah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun keputusan penuh penghakiman memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2:1 menolak rayuan Lina Joy untuk menukar status agama di dalam kad pengenalannya dan mengisytiharkan bahawa orang Islam tidak boleh murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan kecuali dengan kebenaran Mahkamah Syariah.
Kes tersebut turut didengar beberapa peguam pemerhati untuk pihak kerajaan iaitu antaranya, Pak Wan Chik Marican, Zulkifli Nordin, Zainur Zakaria dan lain-lain.
Sementara itu semasa penghakiman dimulakan lebih kurang pukul 10.00 pagi dihadiri lebih 300 orang termasuk wakil NGO Islam seperti Jim, ACCIN, Abim, Frokad, Teras dan wakil Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).
Mereka yang datang sejak awal pagi memenuhi pekarangan mahkamah dengan berzikir dan bermunajat, diketuai oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela).
Ketika itu juga setiap kali hakim membuat keputusan hadirin di luar turut diberitahu Pembela yang mendapat SMS dari wakil mereka yang berada dalam mahkamah.
Pengumuman dibaca oleh wakil Badan Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir dan keputusan yang dibuat Tun Ahmad Fairuz dan Dato' Allauddin disambut dengan laungan takbir.
|