Presiden PAS bidas pembangunan 'mee segera' BN Ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lebih panas dan lantang mempersoalkan ketelusan kepimpinan BN bagi membela nasib rakyat.
Pembangunan `mee segera' sering dilaksanakan oleh BN sekiranya wujud pilihan raya umum dan pilihan raya kecil atau menjelangnya pilihan raya.
Demikian menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS kali ke-53, di Dewan Putik, Kota Bharu, sebentar tadi.
Menurut beliau, kerajaan BN sering menaikkan harga barang-barang keperluan serta tol sehingga amat membebankan rakyat.
Katanya, kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa sepatutnya menjadi peluang rakyat untuk menikmati keuntungannya.
Bagaimanapun, BN telah menghukum rakyat dengan mengambil tindakan menaikkan semua harga barangan keperluan dan harga tol.
"Kemiskinan rakyat tidak diatasi secara baik sebaliknya menjadi peluang kepada pimpinan BN untuk melakukan rasuah dengan lebih hebat," tegasnya di hadapan tetamu dan perwakilan Muktamar.
Menurut beliau, kerajaan yang lahir secara rasuah amat mustahil dapat mengatasi masalah rasuah dan membina negara berkebajikan.
Dato' Presiden menambah apabila menghadapi masalah ekonomi mereka menekan kehidupan rakyat dengan manikkan cukai dan barang keperluan serta memboroskan harta negara. "Pimpinan BN juga sering membahagikan harta kepada kroni dengan menambah hutang negara atau memaksa rakyat menanggung bayaran dalam keperluan hidup seperti kesihatan dan pendidikan," tegasnya.
Tindakan itu semua tambah beliau membuktikan bahawa BN tidak mampu mengendali dan menguruskan sumber negara dengan baik.
Bertambah malang kata beliau, kakitangan awam seperti polis, tentera menjadi mangsa umpan Pilihan raya dengan dinaikkan gaji terlebih dahulu tetapi terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga tol, minyak dan barang keperluan.
Katanya, walapun kenaikan gaji dianggap sebagai satu keputusan baik tetapi kadar inflasi hari ini tidak mengizinkan kenaikan gaji itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.
Tindakan rakus pimpinan BN itu mendesak PAS mempersoalkan bagaimana nasib yang menimpa golongan yang tidak mendapat kenaikan gaji seperti petani, nelayan sudah pasti mereka menghadapi tekanan hidup.
Beliau menambah Umno telah menunjukkan contoh buruk kepada ajaran Islam kerana melahirkan wajah rasuah, keruntuhan moral dan berbagai kezaliman terhadap rakyat. Katanya, kegagalan Dasar Ekonomi Baru adakan kerana keburukan perangai pemimpin Umno yang bertakhtakan rasuah dan penyelewengan.
Dalam ucapan dasar itu beliau menegaskan, sebutan `Bumiputera' hanya sekadar jenama yang memberikan mereka kesempatan politik atas nama `Agenda Melayu' untuk terus membolot kekayan negara sesama elit `Umnoputera'.
Tambah beliau, bukan sahaja Melayu Bumiputera tercorot disegi jurang pendapatan antara tiga kaum tetapi mereka merupakan kaum yang paling teruk dan tercorot dari segi jurang pendapatan `Dalam-Kaum' Melayu itu sendiri.
Ini kerana Melayu Bumiputera menghadapi satu lagi persaingan `Umnoputera lawan Bumiputera' iaitu antara usahawan dan korporat Melayu lawan Kroni Umno.
|