"Kedutaan Besar Malaysia Kaherah di Mesir telah melarang para siswi Al-Azhar daripada berpakaian purdah di dalam bangunan Kedutaan dengan sebab keamanan dan sebagai langkah berjaga-jaga daripada ancaman keganasan (terrorist) sedangkan pihak Kedutaan boleh untuk hanya meminta para mahasiswi Malaysia yang memakai purdah untuk membuka purdah mereka sebelum mereka memasuki bangunan Kedutaan atas tujuan untuk mengenali identiti mereka. Adakah pihak Kedutaan dibenarkan dari sudut Syarak untuk memaksa para wanita yang memakai purdah agar para wanita tersebut berpegang dengan satu pandangan yang tertentu di dalam masalah yang berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama seperti masalah 'purdah'? Apakah tindakan yang mesti diambil oleh para wanita yang memakai purdah apabila berhadapan dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh pihak Kedutaan?"
Jawapan
Sudah dikenali bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya berpegang dengan Mazhab Al-Imam Al-Syafie Radiallahu `Anhu. Di dalam mazhab ini, wanita yang merdeka yang telah baligh diwajibkan untuk menutup wajahnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.
Di dalam kitab Hasyiah Al-Jamal `Ala Syarh Al-Manhaj, ada satu petikan yang turut ada di dalam kitab Syarh Al-Mahalli `Ala Minhaj Al-Nawawi yang berbunyi:
Adapun aurat wanita ketika dia bersama dengan wanita muslim yang lain………..Adapun aurat wanita ketika dia bersama golongan lelaki yang bukan mahramnya, maka auratnya adalah seluruh badan.
Di dalam kitab Hawasyi Al-Syarwani `Ala Tuhfat Al-Muhtaj yang dikarang oleh Ibnu Hajar `Ala Minhaj Al-Nawawi, dinyatakan bahawa:
Diketahui daripada ulasan ini bahawa wanita yang merdeka mempunyai tiga aurat:
Aurat semasa solat iaitu: sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini
Aurat dari sudut apabila orang lelaki yang bukan mahram melihat kepada si wanita tersebut iaitu:
Seluruh badannya sekalipun muka dan dua tapak tangan berdasarkan pandangan yang muktamad
Aurat apabila si wanita berseorangan diri dan semasa bersama dengan mahram: iaitu seperti aurat seorang lelaki
Di dalam kitab Hasyiah Bijirmi `Ala Al-Khatib dinyatakan bahawa:
Adapun aurat wanita (yang baligh dan merdeka) di luar solat dari sudut pandangan lelaki yang bukan mahram terhadapnya, maka aurat wanita tersebut adalah seluruh badannya sekalipun wajah dan dua tapak tangan, sekalipun aman daripada fitnah.
Berdasarkan petikan di atas, maka berdasarkan situasi yang dinyatakan di dalam soalan, pihak yang berkuasa berhak untuk mengambil langkah-langkah untuk menjamin keselamatan, menyelidik, memerhati dan membuat pemeriksaan bagi memastikan keselamatan pihak berkuasa.
Antara langkah-langkah tersebut adalah meminta wanita yang berpurdah untuk menzahirkan wajahnya ketika wanita tersebut ingin masuk ke dalam bangunan pihak berkuasa tanpa pihak berkuasa memaksa wanita-wanita yang berpurdah untuk menanggalkan niqab mereka setelah mana mereka berada di dalam bangunan Kedutaan. Ini kerana bangunan kedutaan adalah tempat awam yang boleh dimasuki oleh setiap warganegara (Malaysia).
والله سبحانه وتعالى أعلم
Panel Fatwa
30/5/2007.