Kebiadaban Israil di bumi Palestin telah mendapat pelbagai respons dari kalangan umat Islam, termasuk ulama-ulama Islam. Tokoh-tokoh Islam seperti Syeikh Dr.Muhammad Sayyid Tontowi, Syaikhul Azhar, yang selama ini terlalu lembut dalam setiap kenyataannya, kini dengan tegas dalam membicarakan kemestian memerangi musuh-musuh Islam, " Apabila kamu tidak mampu memerangi mereka (musuh-musuh Islam, Israil, Amerika Syarikat dan Denmark) dengan senjata, maka sekurang-kurangnya lawanlah dengan memboikot barang-barang dan produk-produk mereka." Fatwa mengenai pembokotan barangan Israil, Amerika dan Denmark adalah satu perkara yang sepatutnya diikuti oleh semua orang Islam lebih-lebih lagi di zaman fitnah ini. Hari ini Islam seolah-olah sudah mati, tidak kedengaran lagi suara-suara yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam. Amerika hari ini umpama Israil kedua, kerana tanpa sokongan kuat darpada Amerika, tidak mungkin Israil mampu bertahan. Koloni Yahudi juga tidak mampu tumbuh tanpa bantuan Amerika.
Antara dalil kewajipan memboikot barangan mereka ialah :
Pertama : Firman Allah Taala yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama sebagai kawanmu dan (mereka) mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim ".(surah Al-Mumtahanah :9)
Kedua : Persetujuan Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam pada Thumamah ketika dia berkata kepada orang-orang Quraisy : " Demi Allah Taala, tidak akan sampai kepada kalian sebiji gandum pun sehingga Rasulullah Sollalahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya ".
Apabila Thumamah bin Athal al-Hanafi telah memeluk Islam, beliau pergi menunaikan Umrah. Ketika beliau sampai di Mekah, orang-orang Mekah berkata: "Adakah anda telah memeluk agama yang sesat?"
Thumamah menjawab: "Tidak, saya hanya mengikut agama yang terbaik iaitu agama Muhammad. Dan demi Allah kalian tidak akan dapat selepas ini apa-apa barangan daripada Yamamah sehinggalah Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya".
Kemudian beliau kembali ke Yamamah. Di Yamamah beliau melarang barang dagangan dihantar ke Mekah (beliau melaksanakan sekatan ekonomi). Akhirnya penduduk Mekah menulis surat kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam.
Antara lain mereka menyatakan kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam :"anda menyuruh kami menyambung silaturrahim akan tetapi anda sendiri memutuskan silaturrahim tersebut. Anda bunuh orang tua kami dengan pedang, anak-anak kami dengan kelaparan".
Akibat daripada itu, Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengutus surat kepada Thumamah meminta beliau agar menghentikan sekatan ekonomi tersebut.
Ketiga : Ijmak para Ulama` yang mengharamkan pemberian manfaat buat orang-orang Kafir Harbi(yang memrangi umat Islam).
Fatwa Dr NAsr FAreed Mohamed Wasel
Pada 15 Oktober 2000, beliau secara terbuka menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya memboikot barangan Israil dan Amerika serta negara-negara lain yang menyokong negara haram berkenaan. Seruan berkenaan dibuat di Masjid An-Nur ,Kaherah dalam satu ceramah anjuran Kementerian Waqaf Mesir.
Fatwa Dr Yusof al-Qardhawi
" Jihad untuk membebaskan tanahair Islam dari serangan dan penjajahan musuh Islam adalah suatu kemestian dan kewajipan suci agama. Ini berdasarkan dalil yang kukuh dalam al-Quran, Sunnah dan Ijma` Ulama`. Kewajipan ini secara utamanya terbahu ke atas penduduk-penduduk yang menghuni tanah berkenaan, kemudian wajib di atas bahu umat Islam sekitarnya. Sekiranya mereka tidak mampu, maka kewajipan tersebut menjadi kewajipan umat Islam seluruh dunia.
Antara bentuk pertolongan dan bantuan terhadap rakyat Palestin tersebut ialah memboikot secara total barang buatan Israil dan Amerika, kerana setiap ringgit atau dirham, dolar atau pound yang anda gunakan membeli barangan tersebut akan berubah menjadi peluru yang ditembakkan ke arah saudara-saudara dan anak-anak di Palestin ".
Fatwa Imam Syed Ali Khamenei (Islamic Republic of Iran)
Imam Syed Ali Khamenei berkata :" Setiap pembelian barangan yang boleh membantu mengukuhkan kekuatan zionis adalah haram ".
Fatwa Ayatullah Sayyid Muhammad Husayn Fadhlullah (Lebanon)
" Antara usaha yang paling kecil yang kita boleh lakukan ialah dengan memboikot semua barangan yang membantu kekuatan musuh... kita mesti memboikot barangan Amerika dan Israil serta syarikat yang menyumbang kewangan Israil ".
Fatwa Ayatullah as-Sayyid Ali as-Sejestani (Iraq)
" Adalah haram bagi umat Islam untuk membeli barangan daripada negara yang memusuhi Islam dan umat Islam, sebagai contoh Israil ".
Jelas kewajipan untuk memboikot barangan musuh-musuh Islam adalah menjadi prioriti setiap umat Islam. Umat Islam wajib bangun menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan setiap masa. Musuh-musuh Islam semakin berani menghina Islam dan umat Islam kerana mereka menganggap umat Islam masa kini seolah-olah mayat yang tidak bernyawa.
BOIKOT adalah satu simbol kesedaran. Mereka yang tidak sedar, tidak mahu sedar, pura-pura tidak sedar, akan terus menyumbang kepada Yahudi, Amerika, Denmark dan sekutu-sekutunya. Barangkali sebahagian daripada kita tidak segan-segan masuk ke KFC demi menikmati ayam goreng. Apa salahnya, kata mereka. Sekali-sekala, bukan ? Takkan tak boleh ...
BOIKOT tugas kita. Kalau menyandang senjata belum tentu persiapan cukup dan jiwa bersedia, tetapi usaha ini tidak wajar disambut dengan pelbagai ALASAN pula. Terima sahaja dan buktikan kesedian anda 100 %. Kalau benar kurang mampu, 90 % sebagai permulaan itu sudah dianggap permulaan yang baik. Kalau benar tidak tahu, sekarang anda sudah tahu, BUKAN ???
|