Takutlah Doa Mangsa Kezaliman
Ameen Ya Rabbal A'lamin . Saya turut menyokong penjelasan yang diwartakan oleh Ust Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkait dengan Isu Doa ke atas Najib One Malaysia.
Insyaallah, kita sama-sama mengaminkan doa Tok Guru sebagai seorang ulama' dan pemimpin yang dizalimi tanpa sebarang belas simpati .
Sabda Rasulullah saw :
اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب
Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - (Ibnu Hibban)
Rakyat dan pemimpin negeri Kelantan telah dizalimi apabila Kerajaan UMNO dan BN gagal memberikan hak mereka berupa royalti hasil minyak petroleum kurniaan Allah swt kepada bumi Kelantan. Kegagalan Kerajaan UMNO dan BN menunaikan tanggungjawab mereka memulangkan hak rakyat negeri kelantan sebenarnya adalah sikap yang dicela oleh Allah swt .
Belum pun sempat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa , terlebih dahulu kutukan laknat dari Allah swt telah mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang . Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :
فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون
Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya.
Antara rezeki dan harta atau barang yang bermanfaat untuk rakyat Kelantan ialah royalti justeru royalti adalah hak mereka. Malangnya kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib termasuk dalam golongan mereka yang menghalang rezeki tersebut. Tuan Guru selaku pemimpin kerajaan negeri sudah jenuh berikhtiar dengan penuh diplomasi sebelum ini, nampaknya Datuk Najib dan kerajaan UMNO dan BN yang dipimpinnya tidak memahami bahasa diplomasi .
Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang teraniaya . Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi .
[ الدعاء سلاح المؤمن ]
Adapun langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut nama di dalam doa beliau sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama-nama mereka yang menentang dan menzalimi Baginda saw dan ummat Islam . Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [ Uqbah bin Abi Mu'it ] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud di hadapan Kaabah, sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha , Rasulullah saw berdoa :
اللهم عليك بقريش
Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy . [ sebanyak 3 kali ]
Sebaik mendengar doa ini , penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba-tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut. Lalu Nabi saw menyambung doanya :
اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط
Ya Allah! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .
Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku berada di dalam genggamanNya , ke semua nama yang disebut itu terbunuh di dalam peperangan Badar . Sirah Ibnu Ishaq
Zambry [ Menteri besar Perak yang tidak sah ] menunjukkan kejahilannya apabila mengeluarkan kenyataan kononnya Nabi saw tidak pernah mendoakan kecelakaan Abu Lahab. Mungkin Zambry juga tidak membaca al-Quran Surah al-Lahab. Bukankah Allah swt telah berfirman maksudnya :
Celakalah Kedua - dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa . Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan . Kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara . Dan begitu pula isterinya , pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut .
Jika Allah telah melaknatnya dan ayat itu dibaca sepanjang zaman. Apakah Zambry memerlukan ayat lain untuk melaknat Abu Lahab? Ayat ini dibaca oleh Nabi saw dan seluruh ummatnya di sepanjang zaman.
Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib One Malaysia dan Timbalannya , jelas melambangkan ketidaktahuan beliau dalam soal agama dan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Itulah apabila al-Quran, Hadis SAW, kata Ulama' tidak dijadikan sebagai sember rujukan dalam pemerintahan Islam ! Jangan nak berceloteh jika tak tahu !
Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt. Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Allah tidak akan mensia - siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman .
Saya terfikir, apa rasionalnya Tuan Guru mengumumkan doa itu. Adakah tak boleh doa sendiri2 sahaja? Isu yang juga boleh dipersoalkan adalah apakah diharuskan doa laknat kepada ahli qiblah, apakah ianya dibenarkan oleh oleh ahlus Sunnah. Doa kepada kuffar tiada khilaf dalam keharusannya. Betul kan ustaz?
Saya yakin, mungkin ustaz @ Tuan Guru Nik Aziz ada dalil untuk mempertahankan tindakannya dan menghilangkan keraguan ini.