Kemunduran Umat Dan Negara Islam Berpunca Dari Pemerintahan Menerapkan Ajaran Yang Bukan Islam
Setelah beberapa analisa yang saya bentangkan kepada saudara-saudara ini, bolehlah sekarang saudara-saudara mengkaji apa yang sedang berlaku di negara-negara Islam bagi mengenali tempat penyakit dan dapat merumuskan ubat baginya.
Tidakkah saudara-saudara melihat kerajaan Islam di dunia ini semuanya telah dihinggapi dan diresapi oleh kelemahan, seolah-olah menjadi batang kayu yang kosong? Apakah sebabnya terjadi demikian?
Sebab asasinya ialah kerana kerajaan-kerajaan ummat Islam menentang akidah, menentang kemahuan dan perasaan orang Islam. Umat Islam ingin kembali kepada Islam, kepada syariatnya yang utuh sedangkan kerajaan Islam menekan mereka supaya berpegang teguh dengan ekor-ekor barat dan bergabung di dalam bloknya.
Di antara kesan pertentangan yang terus menerus ini menyebabkan hati umat Islam tidak sehaluan dengan kerajaan mereka. Telah jelas secara lahiriah dan apa yang dapat dilihat bahawa mana-mana negara tidak menjadi kuat, tidak mempunyai kekuasaan, ketinggian dan kemajuan apabila kerajaannya berada di satu pihak dan rakyatnya berada di pihak yang lain. Mereka pula tidak bersama-sama dalam usaha mencapai kemajuan kerana kerajaan tersebut tidak mempunyai sifat yang dipercayai.
Rakyat jelata pula tidaklah bangkit dengan hati yang bersemangat dan dan keazaman yang bersungguh-sungguh. Dan apabila telah terjadi begitu, sedang pertarungan telah berlaku di antara kerajaan dengan rakyat atau di antara tangan dengan hati, kiranya betul berlaku begini, maka mustahil kerajaan dapat mengharung langkah ke depan dan akan memajukan negara walaupun sedikit, kerana segala usaha dan tenaga yang dicurahkan disebabkan pertarungan dari dalam ini akan lenyap ditiup angin dan menjadi debu yang bertaburan.
Dari suasana yang menyedihkan ini, sebagaimana yang saya jelaskan kepada saudara-saudara tadi, maka negara-negara ummat Islam masih ditimpa oleh bencana kezaliman.
Abul A’la Al-Maududi |
bagus blog ni..penuh dengan agama..