Nasihat Nabi Idris 'Alaihi Salam Nabi Idris a.s adalah keturunan keenam Nabi Adam, putera dari Yazid bin Mihla'iel bin Qoinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s dan baginda adalah keturunan pertama yang dikurniakan kenabian setelah Adam dan Syith. Nabi Idris a.s mengikut setengah riwayat bermukim di Mesir, di mana baginda berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadah menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikut agar menyelamatkan diri dari siksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sehingga berusia 82 tahun. Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiara baginda ialah :- 1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan. 2. Orang yang bahagia adalah orang yang merendah diri dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya. 3. Bila kamu memohon sesuatu daripada Allah dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu. Demikian pula puasa dan solatmu. 4. Janganlah bersumpah dengan keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa. 5. Bertaatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu yang kedua-dua tadi amat taat kepada Allah serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah. 6. Janganlah mengiri orang yang mujur nasibnya kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kemujuran nasibnya. 7. Barangsiapa melampaui kesederhanaan, tidak suatupun akan memuaskannya. 8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehi, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atau nikmat-nikmat yang diperolehinya itu. |