Boikot Dalam Pandangan Islam
Kempen boikot produk Yahudi dan Amerika kini bagaikan hampir-hampir berkubur tanpa nisan di kalangan umat Islam khususnya orang Islam di Malaysia. Tidak dinafikan, kesedaran dan sensitiviti ummah cukup tinggi terhadap isu yang melanda saudara seaqidah di seantero dunia, namun adakah cukup dengan laungan beremosi dan pelekat tanda sokongan bisu tanpa istiqamah dalam praktik?
Lihat pula umat Islam sekarang ni. Masih ramai yang tidak segan-segan melangkah masuk dan memesan makanan di rangkaian pembiaya kelengkapan senjata pembunuh muslim Palestin seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan sebagainya. Tangan ringan sahaja membeli air Pepsi, Coca Cola dan yang seumpama dengannya. Itu belum lagi disentuh bab pakaian, barangan dapur, alat solek dan sebagainya. Terlupakah kita pada hujaman peluru dan mortar yang membinasakan warga Muslim Palestin, Iraq, Afghanistan tanpa mengira tua, muda, wanita dan anak kecil? Kalau ada pun, tenggelam timbul dan terus lenyap dengan pelbagai ungkapan dan alasan.
Kita seharusnya memahami bahawa setiap sen duit yang kita belanjakan untuk membeli produk Yahudi dan Amerika adalah ibarat menyediakan butiran-butiran peluru yang bakal membunuh saudara kita di Palestin. Sedarkah kita bahawa tindakan memboikot barangan mereka akan melemahkan sumber biayai kepada kezaliman mereka? Selain merealisasikan tuntutan amal seiring ilmu(tahu) dan iman, kempen yang diuar-uarkan satu ketika dahulu menggesa kepada kemajuan ekonomi ummah. Jelas, pada setiap barangan musuh, ada barang alternatif yang kini boleh dijadikan pilihan. Dan sekian banyak produk-produk baru, semua itu, muncul atas kesedaran pengusaha Muslim demi memenuhi keperluan umat Islam.
Kita barangkali tidak mampu memikul senjata atau bersama-sama saudara kita berjihad di bumi mereka yang cabuli musuh Islam. Tetapi malangnya kita juga memberi saham membantu musuh membunuh nyawa mereka.Kita lupa bahawa sokongan dan praktik secara sungguh-sungguh terhadap kempen boikot merupakan salah satu strategi Jihad membantu memenangkan perjuangan Islam sebagaimana yang pernah berlaku di zaman Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam, junjungan kita.
Memboikot barangan Yahudi tersenarai di antara usaha yang disifatkan sebagai "maka hendaklah dia mencegah dengan tangan" dan membantu melemahkan kuasa ekonomi Yahudi. Walaupun nampak mudah namun ianya merupakan satu sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Ia bertepatan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi yang menyatakan : " 1 rial(ringgit) untuk produk Amerika Syarikat (Yahudi), sama dengan 1 peluru untuk tubuh saudaramu di Palestin ". Beliau menggesa umat Islam di serata dunia agar tidak membeli barangan Yahudi dan sekutunya.
Antara dalil kewajipan memboikot barangan mereka ialah :
Pertama : Firman Allah Taala yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu Karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim.
Kedua : Persetujuan Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam pada Thumamah ketika dia berkata kepada orang-orang Quraisy : " Demi Allah Taala, tidak akan sampai kepada kalian sebiji gandum pun sehingga Rasulullah Sollalahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya ".
Apabila Thumamah bin Athal al-Hanafi telah memeluk Islam, beliau pergi menunaikan Umrah. Ketika beliau sampai di Mekah, orang-orang Mekah berkata: "Adakah anda telah memeluk agama yang sesat?
Thumamah menjawab: "Tidak, saya hanya mengikut agama yang terbaik iaitu agama Muhammad. Dan demi Allah kalian tidak akan dapat selepas ini apa-apa barangan daripada Yamamah sehinggalah Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya".
Kemudian beliau kembali ke Yamamah. Di Yamamah beliau melarang barang dagangan dihantar ke Mekah (beliau melaksanakan sekatan ekonomi). Akhirnya penduduk Mekah menulis surat kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam.
Antara lain mereka menyatakan kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam :"anda menyuruh kami menyambung silaturrahim akan tetapi anda sendiri memutuskan silaturrahim tersebut. Anda bunuh orang tua kami dengan pedang, anak-anak kami dengan kelaparan".
Akibat daripada itu, Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengutus surat kepada Thumamah meminta beliau agar menghentikan sekatan ekonomi tersebut.
Ketiga : Ijmak para Ulama` yang mengharamkan pemberian manfaat buat orang-orang Kafir Harbi(yang memerangi umat Islam).
Jelas kewajipan untuk memboikot barangan musuh-musuh Islam adalah menjadi prioriti setiap umat Islam. Umat Islam wajib bangun menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan setiap masa. Musuh-musuh Islam semakin berani menghina Islam dan umat Islam kerana mereka menganggap umat Islam masa kini seolah-olah mayat yang tidak bernyawa.
BOIKOT adalah satu simbol kesedaran. Mereka yang tidak sedar, tidak mahu sedar, pura-pura tidak sedar, akan terus menyumbang kepada Yahudi, Amerika, Denmark dan sekutu-sekutunya. Barangkali sebahagian daripada kita tidak segan-segan masuk ke KFC demi menikmati ayam goreng.
BOIKOT tugas kita. Kalau menyandang senjata belum tentu persiapan cukup dan jiwa bersedia, tetapi usaha ini tidak wajar disambut dengan pelbagai ALASAN pula.