DUN Terengganu - Sidang Sebenar Bermula Hari Ini
Sidang sebenar Mesyuarat Yang Pertama, Penggal Persidangan Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) Yang Kedua Belas akan bermula hari ini (7 Mei). Bermula jam 9.30 pagi, sebanyak tujuh kertas-kertas kerja dan laporan akan dibentangkan sebaik sahaja ucapan Yang DiPertua Dewan dan Ucapan Terima Kasih ditangguhkan.
Kertas dan laporan yang akan dibentang tersebut adalah; 1. Penyata Kewangan Lembaga Tabung Amanah Warisan 2005, 2. Penyata Kewangan MBKT 2006, 3. Penyata Kewangan Yayasan Terengganu 2006, 4. Penyata Kewangan Yayasan Islam 2006, 5. Laporan dan Penyata Lembaga Muzium 2006, 6. Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Jabatan/Agensi Kerajaan 2006 dan 7. Laporan Ketua Audit Negera berkaitan Penyata Kewangan Terengganu 2006.
Lapan orang ADUN akan menerima jawapan dari soalan-soalan bertulis yang telah mereka kemukakan. Dari jumlah lapan ADUN tersebut, lima daripadanya adalah ADUN PAS.
Sesi soal jawab soalan lisan dijangka akan mengambil masa yang panjang sehingga 8 Mei. Ia adalah kerana 11 ADUN yang telah disahkan akan membentangkan soalan-soalan mereka dan pihak kerajaan hendaklah menjawab soalan-soalan tersebut secara spontan.
PAS yang mempunyai kekuatan dua kali ganda di Dewan Undangan Negeri Terengganu sesi ini (berbanding sesi lalu) telah menyusun langkah bagi memastikan rakyat akan mendapat maklumat yang jelas, telus dan bertanggungjawab daripada pihak kerajaan. Selain meletakkan tanggungjawab setiap ADUN PAS mengikut portfolio (Exco bayangan), Ketua Whip PAS bagi penggal ini, Dato’ Usaz Harun Taib dijangka akan memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan.
Sebagai orang lama dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, bekas Exco Kerajaan dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu memang cukup dikenali mempunyai kepetahan berhujjah. Pasti akan mengasak pihak kerajaan dan akan membuatkan barisan anggota Exco baru Mad Said perlu membuat ‘kerja rumah tambahan’.
Lebih-lebih lagi tindakan pihak kerajaan negeri yang menyiarkan perjalanan sidang DUN secara langsung melalui internet dilihat akan memberi impak secara langsung kepada rakyat negeri Terengganu.
Rakyat umumnya mahu melihat satu perubahan yang jelas dari segi mutu perbahasan dan jawapan yang diberikan dipihak kerajaan, bukan hanya menghambur jeritan dengan perkataan-perkataan yang jelek dan hodoh.
Wakil-wakil rakyat kini perlu benar-benar menjadi penghubung kepada suara dan hasrat rakyat untuk membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik.
Sidang Dewan Udangan Negeri adalah wadah muhasabah yang paling baik bagi pihak kerajaan untuk menghasilkan dasar-dasar kerajaan negeri yang lebih baik, bukan dasar yang tempang, berat sebelah dan penuh prejudis |