ILMAM MENUNTUT SYARAT BARU UNTUK KE UNIVERSITI AL-AZHAR DIHAPUSKAN
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) berpandangan bahawa syarat baru yang didakwa dikenakan oleh universiti Al-Azhar sebagai satu propaganda politik untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti tersebut. Syarat tersebut juga sebenarnya dilihat amat tidak relevan memandangkan peperiksaan STAM yang diambil oleh pelajar tingkatan enam di sekolah-sekolah sudah pun menyamai Syahadah Thanawiyyah yang juga merupakan syarat kelayakan untuk memasuki universiti terulung itu. Walaupun syarat ini pada zahirnya dikuatkuasakan oleh Universiti Al-Azhar tetapi seolah-olah wujud pihak ketiga yang menggunakan nama Universiti untuk menyekat pelajar-pelajar Malaysia daripada belajar di sana. Kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Khalid Nordin bahawa pelajar mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan pengajian di sana dilihat bukan satu alasan untuk meletakkan syarat baru sebagai syarat kemasukkan ke Universiti Al-Azhar. Kelemahan dalam Bahasa Arab tidak boleh dijadikan satu isu kerana kelemahan tersebut sebenarnya dibawa oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah menengah sejak di Malaysia lagi. Jadi kelemahan tersebut adalah berpunca daripada sistem pendidikan di sini bukannya ketika mereka melanjutkan pelajaran di Mesir bahkan kelemahan tersebut hakikatnya dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya lebih ramai pelajar dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Bahasa Arab dan memperbaiki sistem pengajian bahasa Arab di sini. Alasan bahawa pelajar mengambil masa yang lama untuk lulus juga amat tidak dapat diterima untuk meletakkan syarat itu. Ini disebabkan kelemahan bahasa Arab dan bukan penyebabnya tetapi keadaan sistem pengajiannya amat berbeza dengan apa yang didapati di tanah air. Lebih-lebih lagi kita melihat keadaan itu sudah pun bertambah baik sejak akhir-akhir ini atas usaha pihak persatuan-persatuan negeri yang menolong pihak pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan dan sebagainya. Oleh itu, ILMAM sekali lagi mendesak agar pihak kerajaan mengkaji hal ini dan berbincang dengan pihak Universiti tanpa melibatkan kepentingan politik demi melihat lebih ramai graduan agama al-Azhar dapat menyebarkan sinar Islam di tanah air. Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli Presiden, Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)01 Jamadil Awal 1432 H @ 05 April 2011 |