Orang Beriman Tidak Sekali-kali Bakhil dan Kedekut
Tertarik untuk memperolahkan serba sedikit apa yang diutarakan oleh Khatib Jumaat tadi. Perkara yang amat menyentuh perasaan dan jiwa. Apa ke tidaknya, perjuangan ataupun Jihad samada dengan harta benda mahupun dengan masa, jiwa dan tenaga diri sendiri, memerlukan kepada pengamalan, bukan setakat kata-kata, dan laungan-laungan semangat yang kering dari ilmu Allah dan Rasul serta pengalaman orang yang beriman, yang bertunjangkan dengan aqidah Islam yang tulen dan asli.
Beramal, satu konsep yang wajib bagi Iman. Tanpa beramal dengan pancaindera yang ada, jua tanpa beramal dengan segala rukun Iman yang enam, maka tidak berimanlah dia. Walaupun dia memiliki dua PHD, dua MA, dua B.A, ikut apa jurusan yang dia habiskan, jika konsep beramal tidak diaplikasikan dalam realiti kehidupannya, maka sia-sialah kehidupannya. Apabila ditawarkan untuk membuat kebaikan, terutama yang melibatkan masa dan tenaga, apatahlagi yang melibatkan harta benda, pelbagai alasan diberikan. Kadang-kadang alasan diberikan dengan istilah 'Silent Protes'.
Kerana itulah, Nabi Muhammad saw amat menitikberatkan didikan dan bimbingan rohani dan jasmani ke atas para Sahabat radhiallahu anhum, yang lebih terkenal dengan istilah 'Tarbiyyah'. Sehebat mana seseorang itu, tarbiyyah tidak boleh ditinggalkan. Semahal mana pendapatan bulanannya, tarbiyyah tidak boleh dilupai. Setinggi mana pangkat dan jawatannya dalam kerjayanya, tarbiyyah mesti diambil kira. Sesibuk mana urusan kehidupannya, tarbiyyah mesti diterapkan dalam dirinya.
Dengan tarbiyyah, seseorang itu lebih terpelihara percakapannya. Dengan tarbiyyah, gerak geri perbuatannya terjaga. Dengan tarbiyyah, hubungan sesama manusia yang dinamakan Ukhuwah Islamiyyah terlaksana, dengan lahirnya sifat 'Salaamatus Sodri' atau 'Berlapang Dada' apabila menerima sebarang teguran dan nasihat serta pandangan daripada sesiapa pun, samada daripada orang yang lebih tua daripada kita, atau daripada orang yang lebih muda daripada kita.
Teringat satu kalam haraki: "Sesungguhnya penawar bagi Penyakit Hasad Dengki (PHD) adalah apabila melihat orang yang lebih tua dari kita, kita merasakan bahawa amalan kebaikan lebih banyak dari kita. Dan apabila kita melihat orang yang lebih muda daripada kita, kita merasakan bahawa amalan keburukan orang itu masih berkurang jika hendak dibandingkan dengan amalan keburukan kita."
Kembali kepada perbincangan tajuk di atas. Firman Allah taala di dalam Surah as-Saff ayat 10-11 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui."Pernah satu ketika, saya diberi rungutan oleh senior saya yang merupakan seorang pimpinan pelajar ketika berada di Mesir ketika masa dahulu. Kebetulan dia mengetahui saya adalah Presiden ILMAM Malaysia. Maka beliau meluahkan satu perasaan ketidak puasan hatinya terhadap sesetengah golongan lepasan Al-Azhar yang sedang bekerja dengan hasil pendapatan yang jauh tinggi jika nak dibandingkan dengan orang kampung dalam satu majlis yang besar yang audientnya adalah di kalangan pelbagai latar belakang. Saya terkedu dengan luahan tersebut, dan saya yakin itulah hakikatnya.
Beliau menyatakan: "Seorang pakcik hadir ke satu Ceramah PAS, dengan membawa duit RM10. Dengan duit itu dibelanjakan RM1 untuk beli kacang rebus, RM1 untuk beli keropok goreng, dan RM1 untuk beli air minuman. Maka, apabila pengerusi ceramah melancarkan derma JIHAD, maka lebihan RM7 itu diinfaqkan semuanya tanpa banyak persoalan dan keluhan, mahupun herdikan dan sindiran...Berbeza dengan kawan ana sorang ni yang berpendapatan tinggi, ribuan..Apabila datang berjumpa dengannya, dari jauh lagi, dah kedengaran suara sinis dan sindiran, tidak lain tak bukan, mari berjumpa ni kerana nak minta derma ni..Allah..kedekut dan bakhilnya kawan ana ni, bahkan turut mempersoalkan dengan soalan yang macam-macam..Jauhnya perbezaan dengan orang kampung tadi..."
Tak perlu saya jelaskan dan huraikan kisah benar tadi. Cukuplah kita selaku mereka yang beranggapan kita adalah Orang Yang Beriman, insyaAllah, mengambil pengiktibaran dan panduan dalam kehidupan kita seharian.
Saya pernah mengingatkan sebelum ini, bahawa:
Kerjaya yang sedang kita kerjakan pada hari ini bukanlah matlamat utama, bahkan kerjaya kita ini sebenarnya adalah merupakan wasilah untuk mencapai matlamat utama kehidupan kita. Orang terdahulu, bagi mereka kerja yang utama adalah kerja Jemaah, adapun kerja dunia ini hanyalah merupakan wasilah untuk keperluan kerja Jemaah.Suka saya mengingatkan akan
mafhum sabda Nabi saw yang menegaskan bahawa harta yang sedang kita miliki sekarang, adalah bukan harta kita. Adapun harta kita yang sebenarnya adalah harta kita yang telah kita infaqkan/ sedeqahkan untuk kerja-kerja Islam iaitulah pada segala kerja pada jalan Allah taala, kerana harta tersebut akan bertukar menjadi pahala yang akan menjadi modal kegunaan kita di alam akhirat nanti.Ingatlah satu lagi sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Barangsiapa bersedeqah seberat sebiji kurma dari rezeki yang halal, maka Allah akan menerima sedeqah itu dengan penuh kemegahan-Nya, lalu Dia memeliharanya seperti seseorang kamu memelihara anak kuda yang baru dilahirkan, sehingga akhirnya sedeqah itu membesar seperti sebuah gunung."Ketahuilah pula akan ancaman bagi mereka yang lokek dan bakhil untuk bersedeqah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud:
"Setiap kali matahari terbit, ada dua malaikat di kanan dan kiri, yang satu menyeru: "Ya Allah! Kurniakanlah ganti terhadap orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah." Dan yang satu lagi pula menyeru: "Ya Allah! Berilah kemusnahan terhadap orang yang menahan hartanya dari infaq pada jalan Allah."Akhirnya, mari kita lihat satu penyesalan yang berlaku ke atas seseorang yang tidak melazimi infaq pada jalan Allah ketika hidup di dunia, sepertimana firman Allah taala di dalam surah al-Munaafiqun ayat 10-11 yang bermaksud:
"Bersedeqahlah kamu dari apa yang Kami berikan kepada kamu sebelum datang kepada seseorang dari kalangan kamu kematian di mana dia akan berdoa: Wahai Tuhan, alangkah eloknya kalau Engkau perlambatkan sedikit ajalku ini agar aku boleh bersedeqah dan menjadi orang yang soleh. Dan Allah tidak akan sekali-kali memperlambatkan ajal kepada sesuatu jiwa itu dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."Satu ingatan bersama, yang telah ulama' tafsirkan daripada ayat 219 dalam Surah al-Baqarah, setelah para sahabat r.anhum bertanya kepada Rasulullah saw tentang apa yang perlu kami infaqkan dan berapa kadarnya? Maka Allah menyatakan dengan infaqkan akan apa yang lebih daripada hajat kamu. Ulama' menghukumkan di sini dengan sayugia ke atas kita, memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan kita untuk kerja-kerja pada jalan Allah taala. Para sahabat tanpa banyak persoalan, melaksanakan perintah tersebut..
Kalau kita boleh memperuntukkan pendapatan kita untuk bayar loan kereta, bayar loan rumah, bayar personal loan, bayar loan tanah, bayar ansuran takaful, beli barang dapur, dan bermacam-macam peruntukkan lagi, takkan kita tidak boleh peruntukkan RM50 sebulan daripada lebih RM2500 untuk kerja pada jalan Allah ???Wallahu a'lam...