Kepimpinan Dalam Islam
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ بَيْنَمَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ، فَكَرِهَ مَا قَالَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ " أَيْنَ ـ أُرَاهُ ـ السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ ". قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ " فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ ". قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ " إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ ".
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, katanya: Ketika Nabi SAW berada dalam suatu majlis, berucap di hadapan orang ramai, tiba-tiba datang seorang badwi dan berkata: Bilakah akan berlaku qiamat? Nabi SAW. meneruskan ucapannya. Ada di antara orang ramai berkata: Nabi dengar pertanyaan itu, tapi Nabi tidak suka ungkapannya. Sebahagian yang lain berkata: Nabi tak dengar. Apabila selesai berucap, Nabi SAW. bertanya: Mana orang yang bertanya tentang kiamat? Badwi tadi menjawab: Saya, ya Rasulullah. Lalu Nabi SAW bersabda: Apabila amanah dipersiakan, maka tunggulah kiamat. Badwi tadi bertanya lagi: Bagaimana dipersiakan amanah? Lalu Nabi SAW menjawab: Apabila diserahkan urusan pentadbiran kepada orang yang bukan ahlinya (tidak beriman), maka tunggulah kiamat (kehancuran). (Riwayat Imam Bukhari)Kepimpinan dikaitkan dengan amanah. Amanah pula dikaitkan dengan kiamat/kehancuran. Ini disebabkan kerana pemimpin memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran. Pemimpin yang beriman akan membawa rakyat ke jalan yang diredhai Allah SWT. Manakala pemimpin yang tidak beriman akan membawa manusia ke jalan yang sesat dan dimurkai Allah sw.t.
Oleh kerana pemimpin bertanggungjawab memandu manusia ke jalan Allah SWT beberapa sifat mahmudah perlu dimiliki. Antaranya,kita dapat lihat dalam beberapa ayat al-Quran:
Firman Allah taala yang bermaksud:
"Dan kepada Luth, Kami anugerahkan hikmah dan ilmu." (Surah al-Anbiya': 74)Firman Allah taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang gagah dan dapat dipercayai. (Surah al-Qasas: 26)Firman Allah taala yang bermaksud: "Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat serta tunduk patuh (kepada semua perintah Allah)" (Surah al-Maidah: 55)Firman Allah taala yang bermaksud: "Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka." (Surah as-Syura:38)Di samping itu,
Nabi SAW juga menyebut dalam beberapa hadithnya:
عنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ رَسُولِ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالَ:"خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ، وَيُحِبُّونَكُمْ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ، وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ.
Maksudnya: Daripada ‘Auf bin Malik r.a. katanya:
Saya dengar Nabi SAW. bersabda: Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihi kamu, kamu berdoa untuk mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan sejahat-jahat pemimpin ialah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu kutuk mereka dan mereka kutuk kamu. (Hadis Riwayat Muslim)"إِنَّ شَرَّ الرِّعَاءِ الْحُطَمَةُ، فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ"
Maksudnya:
Sesungguhnya sejahat-jahat pemimpin ialah mereka yang mengasari dan menzalimi rakyat tanpa kasihan belas. Ingat-ingatlah kamu, jangan termasuk di kalangan mereka. (Muttafaqun Alaih)
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِاالْجَنَّةَ
Maksudnya:
Tiada seorang pun hamba Allah yang diberi kuasa mentadbir rakyat, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan syurga untuknya. (Muttafaqun Alaih)مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ، ثُمَّ لاَ يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْفح لهم، إِلاَّ لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمُ الْجَنَّةَ"
Maksudnya:
Tiada seorang pun pemimpin yang mengendalikan urusan orang-orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh menguruskan mereka dan tidak memberikan nasihat (agama) kepada mereka, melainkan dia tidak akan dapat masuk syurga bersama-sama mereka. (Muttafaqun Alaih)Renungkanlah ayat-ayat Quran dan Hadith-hadith Nabi SAW di atas untuk menyedarkan kita betapa pentingnya kepimpinan dalam meneruskan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Islam menggariskan panduan untuk kita supaya kepimpinan mesti berada di tangan orang yang beriman yang akan mendaulatkan Islam dalam semua urusan kehidupan.
Panduan daripada Quran dan Hadith itu perlu kita terjemahkan dalam kehidupan kita agar kita dipimpin oleh golongan yang beriman. Jadi, alangkah ruginya manusia yang membiarkan urusan kepimpinan berada di tangan mereka yang tidak berapa yakin dengan Islam. Akhirnya corak pentadbiran lari dari landasan Islam yang pastinya mengundang padah dan kita juga akan menerima dosa kerana membiarkan kerosakan di muka bumi ini.
Untuk perbandingan, lihatlah
hadith Nabi SAW.:
إِذَا كَانَتْ أُمَرَاؤُكُمْ خِيارُكُم وَأَغْنِيَاؤُكُم سُمْحَاءَكُم وأُمُوْرَكُم شُورَى بَيْنَكُم فَظَهْرُ الأرضِ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ بَطْنِهَا وَإِذَا كَانَتْ أُمَرَاؤُكُم شِرَارَكُم وأَغْنِيَاؤُكُم بُخَلاَءَكُم وأُمُوْرَكُم إلى نِسَائِكُمْ فَبَطْنُ الأرضِ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ ظَهْرِهَا
Maksudnya:
Apabila pemimpin kamu terdiri daripada orang yang terbaik di kalangan kamu, jutawan kamu adalah orang yang paling dermawan, urusan kamu diputuskan dalam musyawarah kamu, maka belakang bumi (hidup) lebih baik bagi kamu daripada perutnya (mati). Dan apabila pemimpin kamu adalah orang yang jahat di kalangan kamu, jutawan kamu adalah manusia yang paling bakhil dan urusan kamu diserahkan kepada wanita, maka perut bumi (mati) adalah lebih baik bagi kamu daripada belakangnya (hidup). (Hadis Riwayat at-Termizi)Itulah nilai kepimpinan dalam Islam. Kepimpinan akan menerajui segala urusan pentadbiran dan akan merancang semua peraturan serta undang-undang untuk dipatuhi oleh semua rakyat. Pemimpin yang beriman akan memandu rakyat ke arah yang diredhai Allah SWT . Sebaliknya pemimpin yang tidak beriman akan terus berusaha memesongkan rakyat jelata dari Islam dengan sangkaannya bahawa dialah yang terbaik.
Oleh itu marilah kita corakkan bentuk kepimpinan negara supaya kita juga mendapat habuan dan ganjaran daripada Allah SWT pada hari akhirat nanti. Kita tidak boleh menyerahkan urusan kepimpinan ini kepada orang yang tidak memahami Islam ataupun orang yang tidak minat dengan Islam. Kegagalan kita bertindak atau kecuaian kita menguruskan perkara ini meletakkan kita di kandang salah yang akan mendapat seksaan Allah s.w.t pada hari akhirat kelak.
Marilah kita sama-sama berusaha supaya kepimpinan negara kita akan berada di tangan insan yang beriman. Usaha ini perlulah berterusan dan berkekalan kerana musuh-musuh Allah SWT tidak pernah jemu untuk memerangkap orang Islam, khususnya mereka yang bertungkus lumus berusaha mendaulatkan Islam.
Ambillah pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW yang terpaksa berjuang mati-matian hanya untuk mendaulatkan Islam. Kitalah yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan corak kepimpinan negara pada masa depan. Gunakanlah kesempatan ini untuk menjadikan negara kita
'Baldaton Taiyyibah wa Rabbon Ghafur'.