Nasihat Penting
Pemuda-pemuda yang mulia ! Di akhir ceramah ini, ingin saya sampaikan nasihat kepada saudara-saudara, iaitu janganlah saudara-saudara menjalankan kerja secara gerakan persatuan sulit (tanpa ada penyebaran umum dakwah) dan janganlah saudara-saudara menggunakan cara kekerasan senjata untuk mengubah suasana yang berlaku. Uslub ini termasuk dalam ertikata gopoh-gapah yang tidak akan meninggalkan kesan yang baik. Janganlah anda cuba-cuba untuk mencari jalan pendek, kerana uslub ini adalah lebih buruk akibatnya dan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada jalan yang lain. Sesungguhnya perubahan yang betul dan sihat yang telah dicapai di zaman dahulu, dan akan tercapai juga di zaman mendatang, ialah dengan kerja dakwah yang terus-terang seterang matahari di waktu tengah hari. Oleh itu, anda mesti menyebar dakwah anda dengan cara terus-terang. Anda mesti bangun bekerja memperbaiki jiwa dan akal fikiran manusia dengan kegiatan yang seluas mungkin. Anda mesti menggunakan tenaga manusia untuk sampai kepada tujuan anda yang mulia itu dengan bersenjatakan akhlak yang menarik, nilai yang luhur, budi pekerti yang baik, nasihat yang bagus dan kebijaksanaan yang tinggi. Dan anda mesti menghadapi rintangan yang berbentuk ujian dan kesusahan sebagai pengadapan seorang pahlawan. Inilah jalan yang membolehkan kita melakukan perubahan secara radikal, yang kukuh asasnya, kuat umbinya dan besar pula faedahnya kepada umat yang lemah di hari ini. Riak gelombang semacam ini tidak dapat disekat oleh mana-mana kekuatan musuh. Saya berani bertegas bahawa umat Islam yang kemudian ini tidak menjadi baik melainkan dengan mengamalkan ajaran yang telah diamalkan oleh umat Islam yang terdahulu. Adapun jika anda bergopoh-gapah melakukan perubahan dengan menggunakan cara kekerasan, kemudian anda berjaya sedikit sebanyak dalam perubahan itu, maka kejayaan itu tak ubah seperti angin yang masuk melalui pintu dan keluar melalui jendela. Nasihat ini saya sampaikan kepada setiap orang yang bekerja menyebar dakwah Islamiyyah, kerana ia adalah peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau menggunakan pendengarannya sedang ia menyaksi. Saya memohon kepada Allah supaya Ia memperbetulkan kesalahan kita, mengilhamkan hidayah, taufik dan menolong kita dalam usaha meninggikan kalimahnya pada jalan yang Allah redhai. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong. Wasalamu ‘alaikum warah matulllahi wabarakatuh Abul A’la Al-Maududi |