Perhimpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Minyak
Tarikh: 12 Julai 2008 (Sabtu)
Masa: Jam 3 petang
Tempat: KLCC
Dianjurkan oleh: Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (PROTES)
Rakyat Malaysia telah dikejutkan pada 4 Jun 2008 apabila kerajaan Barisan Nasional mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen. Ini merupakan satu peningkatan 40.6% daripada harga sebelum ini.
Kerajaan BN juga telah mengumumkan satu polisi baru di mana pengguna kereta kurang daripada 2000cc akan diberi RM600 setahun sementara penunggang motosikal pula diberi RM120 setahun. Polisi baru ini adalah kononnya untuk membantu rakyat kurang berada. Namun demikian, jika perhitungan mudah dibuat, elaun ini jelas tidak cukup untuk menampung kos kenaikan yang begitu ketara.
Alasan utama yang diberikan oleh kerajaan adalah bahawa harga minyak di pasaran dunia semakin meningkat. Ini alasan yang buruk kerana Malaysia ialah sebuah negara pengekspot minyak. Peningkatan harga minyak di pasaran dunia sebenarnya menguntungkan PETRONAS meskipun harga minyak yang diimpot dari negara lain juga meningkat.
Mereka yang pro-kerajaan mungkin akan memberi statistik harga minyak tinggi di negara yang tidak menghasilkan petroleum (negara pengimpot). Jangan tertipu dengan helah ini! Jika dibandingkan dengan negara pengekspot minyak lain di dunia, Malaysia jelas mempunyai harga minyak tempatan antara yang tertinggi.
UAE : RM1.19
Bahrain : RM0.87
Qatar : RM0.68
Arab Saudi : RM0.38
Nigeria : RM0.32
Venezuela : RM0.16
Di Venezuela, harga seliter petrol hanya RM0.16, manakala di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, UAE dan Qatar, harga seliter petrol di antara RM0.38-RM1.19. Wajarlah harga petrol negara kita berlipat ganda berbanding negara pengeskspot lain?
Rakyat Malaysia perlulah melakukan sesuatu untuk menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa kita tidak setuju dengan kenaikan harga minyak ini. Oleh yang demikian, PROTES menganjurkan satu perhimpunan aman yang akan diadakan bulan depan. Rakyat jelata mestilah turun beramai-ramai untuk membantah tindakan kerajaan BN yang tidak wajar dan membuktikan bahawa kuasa sebenar berada di tangan rakyat.
Marilah kita sama-sama membantah kenaikan harga minyak.
Marilah kita PROTES SAMPAI TURUN! |